AHLI perniagaan, Bibi Ramjani Ilias Khan mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dipilih menjadi presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi penggal 2017-2021 pada kongres kali ke-63 persatuan itu yang berlangsung di Kota Bharu, hari ini.

Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu itu memenangi kerusi nombor satu tersebut setelah menewaskan pencabarnya, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dengan kelebihan 16 undi, pada pertandingan dua penjuru itu.

Bibi Ramjani mendapat 32 undi manakala Muhammad Nasir yang merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf meraih 16 undi.

Pengumuman Bibi Ramjani selaku presiden baharu diputuskan menerusi undian kali kedua setelah Muhammad Nasir memohon ia dilakukan sekali lagi selaras dengan Artikel 39(2) perlembagaan persatuan yang memutuskan bahawa dua pertiga undi diperlukan bagi menentukan pemenang mutlak jawatan tersebut.

Sebelum itu, pada undian awal, usahawan wanita berusia 46 tahun itu menang dengan kiraan 32 undi berbanding Muhammad Nasir dengan 19 undi.

Saingan dua penjuru jawatan timbalan presiden dimenangi penyandang, Datuk Seri Afandi Hamzah setelah mengalahkan Datuk Rosmadi Ismail dengan kelebihan tujuh undi.

Afandi berjaya mempertahankan jawatan nombor dua tertinggi itu setelah meraih 29 undi berbanding Rosmadi, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat 22 undi.

Bagi jawatan naib presiden pula, saingan sengit berlaku apabila seramai enam calon termasuk empat muka baharu bertanding untuk merebut tiga kekosongan tersebut.

Tiga kuota itu diisi ketiga-tiga muka baharu iaitu Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali  yang memperoleh 39 undi, Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir (27) dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim (21).

Terdahulu, Azman Ibrahim dan Datuk Rosdi Ab Aziz diumumkan meraih 35 dan 27 undi namun kedua-dua Exco Kafa penggal lalu itu memutuskan menarik diri sekali gus memberi laluan kepada Nik Pakheruddin dan Nik Izani mengisi dua slot berkenaan.

Sementara itu, seramai 10 calon dipilih untuk menduduki kerusi ahli jawatankuasa eksekutif bagi tempoh empat tahun akan datang dengan Datuk Mohd Rowi Dollah mendahului senarai menerima 51 undi, Wan Rakemi Wan Zahari (42), Nubli Ab Latif (40), Datuk Shaari Mat Hussin dan Zulkifli Omar, masing-masing mendapat 37 undi.

Turut menang, Akmal Ahmad Tabarani (33), Mohamad Ausri Husin (29), Azrul Mohd Zawawi (28), Mohamed Fareez Nor Amran (26) manakala kerusi terakhir dimenangi Datuk Azman Ismail setelah Nu Muhamad@ Marzuki Jusoh menarik diri biarpun kedua-dua mereka terikat 24 undi.

Untuk rekod Kafa mempunyai 10 ahli gabungan iaitu Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) yang diwakili lima perwakilan dan dua wakil daripada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan dan Persatuan Bola Sepak Cina Kelantan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 52 undi.