KUALA LUMPUR - Seramai 600 pesilat mahasiswa dari dalam dan luar negara termasuk Eropah, akan menyertai Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa Piala Timbalan Perdana Menteri 2012, di pusat beli belah Square One Batu Pahat, pada 17 hingga 22 Sept ini.

Kejohanan tahunan itu anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UHTM) dan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka).

Penolong Naib Canselor UTHM Prof Ir Dr Amir Hashim Mohd Kassim berkata kejohanan yang memasuki edisi ketiganya itu turut menerapkan sesi pembelajaran bersama guru seni silat Melayu asli, di sekitar Batu Pahat.

"Para peserta, terutamanya dari luar negara seperti Eropah, akan berpeluang untuk mendalami ilmu persilatan daripada pengamal-pengamal silat tradisional, di samping melawat gelanggang silat di kampung-kampung dan Muzium Silat, dua tiga hari sebelum pertandingan bermula," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya Malaysia selaku juara bertahan bagi kategori pengajian tinggi antarabangsa akan dicabar sembilan negara iaitu Belanda, Belgium, Brunei, Indonesia, Laos, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Vietnam.

"Tahun ini kita meraih sambutan yang amat memberangsangkan daripada universiti luar negara berbanding tahun lepas, dengan hanya tiga negara asing mengambil bahagian iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand.

"Ini menunjukkan bahawa kejohanan ini boleh pergi lebih jauh dan KPT akan mengambil peluang untuk mempromosikan universiti tempatan sebagai hab pendidikan di rantau ini," katanya.

Sementara itu, 34 institusi pengajian tinggi tempatan awam dan swasta, termasuk politeknik dan kolej komuniti akan bertanding dalam kategori institusi pengajian tinggi tempatan dan kejohanan kali ini turut memperkenalkan kategori baharu iaitu 'Pelajar Antarabangsa Dalam Malaysia'.

Sejumlah 212 pingat meliputi kategori silat olahraga dan silat seni, termasuk enam piala utama Pesilat Terbaik IPT Tempatan lelaki dan wanita, Pesilat Terbaik IPT Antarabangsa lelaki dan wanita serta Juara Keseluruhan IPT Tempatan dan Juara Keseluruhan IPT Antarabangsa ditawarkan dalam kejohanan kali ini.- Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.