MEDIA sosial hari ini bukanlah suatu perkara asing lagi bagi semua lapisan masyarakat. Buka sahaja Facebook atau Instagram, meriah dengan video-video sensasi dan berita-berita terkini. Media sosial kini terlalu sarat menghidangkan pelbagai informasi, berita, cerita, video dan gambar yang membolehkan ia tular dengan pantas tanpa sempadan.

 Kecanggihan teknologi ini membuatkan ramai orang menjadi fanatik terhadap penggunaan media sosial. Mereka teruja apabila melihat orang lain menjadi terkenal atau tular dengan cepat. Persepsi inilah peluang dan lubuk untuk mencari publisiti dan sekaligus menjana pendapatan lumayan dengan cara  mudah.

Pelbagai cara boleh digunakan orang ramai untuk mengikuti trend terkini. Ada yang sekadar suka-suka memuat naik video menari, menyanyi serta berdrama. Bahkan, adakalanya mereka sanggup membuat video-video kurang cerdik seperti berkelakuan tidak senonoh atau menyentuh isu-isu sensitif dalam masyarakat, untuk dilihat lain dan  mudah mendapat perhatian netizen seterusnya menjadi tular.

Tujuan mereka adalah untuk menjadi terkenal lantas mempunyai pengikut yang ramai dan secara tidak langsung boleh menjanakan pendapatan lumayan. Perkara ini terjadi kerana mereka telah melihat beberapa orang yang berjaya dengan cara ini. Maka ia menjadi satu inspirasi  kurang cerdik buat mereka untuk menuruti jejak langkah selebriti media sosial ini. Ia merupakan suatu motivasi buat mereka untuk buat apa sahaja janji mendapat nama lalu menjadi terkenal. Matlamat menghalalkan cara. Itulah kata-kata yang menjadi pegangan mereka.

Makan diri

Kerana terlalu obses dan terdesak untuk dikenali di media sosial, muncul pelbagai idea untuk melakukan perkara sia-sia dan tidak bermanfaat. Kadangkala perbuatan tersebut memakan dirinya sendiri seperti menjatuhkan maruah diri serta keluarga.  Sehingga mengalami tekanan jiwa dan depresi setelah mendapat kecaman daripada netizen. Lebih malang, terdapat kes yang menyebabkan berlakunya kematian, kerana terlalu fanatik dengan media sosial.

Sebagai contoh kejadian di Beijing, seorang lelaki maut selepas terjatuh dari curam setinggi 30 meter semata-mata mahu mengambil ‘selfie’. Ada yang dilanggar kenderaan akibat leka bermain telefon di jalan raya. Terdapat juga kemalangan ketika sedang asyik merakam aksi menari sambil keluar dari kereta. Mereka ini boleh dikatakan telah hanyut dalam dunia media sosial sehinggakan tidak sedar akibat yang mungkin terjadi di dunia realiti.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW mengajar kepada kita untuk tidak melakukan perkara yang memudaratkan kepada diri sendiri serta orang lain. Daripada Abi Sa’id Sa’d bin Sinan Al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada mudarat (dalam Islam) dan tidak boleh menimbulkan mudarat.” (Hadis Hasan, Riwayat Ibnu Majah dan Ad-Daruquthni).

Pendekar papan kekunci

Keyboard warrior adalah istilah bagi orang yang cepat memberikan respon kepada semua isu yang menganggap diri mereka sebagai pahlawan dan seperti tahu semua perkara. Golongan ini akan menjadi sama ada sebagai pembela atau penghukum atas apa sahaja isu. Mereka menulis tanpa batasan dan panduan. Apa yang dia rasa, dia tulis yang biasanya dengan penuh emosi dan provokasi. Soal betul atau salah tidak lagi dipedulikan kerana bagi mereka sesiapa yang percayakan sesuatu informasi tersebut bukanlah di bawah tanggungjawabnya. ALLAH  telah mengingatkan orang-orang beriman agar lebih berhati-hati atas apa yang kita lakukan. Firman ALLAH  SWT:

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi lah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, serta janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain.Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.Bertakwalah kamu kepada ALLAH .Sesungguhnya ALLAH  Penerima taubat  lagi Maha mengasihani. (Al-Hujurat : ayat 12).

Jika tiada sebarang sekatan atau kawalan dalam penggunaan media sosial, lebih banyak kesan buruk akan menimpa dalam masyarakat. Hilangnya rasa hormat, timbul persengketaan serta perpecahan dalam sesebuah masyarakat. Resam masyarakat kita kini lebih mudah untuk mempercayai apa sahaja yang ada di Internet tanpa menyelidiki kebenarannya terlebih dahulu. Pada hemat mereka apa yang majoriti katakan itulah kebenaran dan tidak perlu lagi untuk diselidiki. Firman ALLAH SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik dengan membawa berita, maka ‘tabayyun’lah (teliti dahulu), agar jangan sampai kamu menimpakan suatu bahaya kepada satu kaum atas dasar kebodohan.Maka kemudian kamu menyesali atas apa yang telah kamu lakukan. (Al-Hujurat : Ayat 6).

Sebarkan kebaikan

Masyarakat kini perlu dididik agar bertanggungjawab atas setiap penulisan, percakapan dan perbuatan mereka. Setiap individu perlu memainkan peranan untuk melakukan perubahan agar tidak lagi menyebarkan perkara-perkara negatif,  tidak melayan atau hentikan terus perkara sia-sia yang datang dari media sosial. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:

Di antara (tanda) kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya. (Hadis Hasan. Diriwayatkan oleh At-Tirmizi).

Jadilah ejen pengubah masyarakat. Mulakan dengan usaha yang kecil kerana perubahan  besar itu bermula dari langkah yang kecil. Hidupkan budaya berkongsi perkara yang bermanfaat. Berikan inspirasi kepada orang lain untuk menjadi lebih baik. Masyarakat perlu diisi dengan ilmu bukan semata-mata hiburan sahaja. Rasulullah SAW bersabda,

“Barang siapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya” (Riwayat Muslim no. 1893).

Manusia merupakan individu yang mudah terkesan dengan suasana sekeliling. Persekitaran akan membentuk dan mempengaruhi sikap dan cara berfikir seseorang. Kerana itulah Islam mengajar kita untuk memilih persekitaran yang baik serta berkawan dengan orang yang baik. Agar persekitaran dan kawan sekeliling akan turut mempengaruhi diri kita menjadi yang lebih baik.

Mula bertindak

Marilah kita mula melakukan kebaikan dan menyebarkannya. Jadikan platform media sosial sebagai tempat untuk kita menanam benih-benih kebaikan agar hasilnya dapat kita tuai di akhirat kelak. Orang yang beruntung adalah mereka yang beriman dan beramal soleh kemudian berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran.