IMAN permudah akses daging halal
DAEM perkenal sistem mudahkan pelanggan semak inventori dan buat tempahan

TIADA siapa menyangka seorang penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar kini aktif meneroka bidang penternakan dan penyediaan produk daging halal melalui syarikat DAEM Sdn Bhd (DAEM).
Penglibatan Alif atau nama penuhnya, Muhammad Alif Mohd Satar itu bukan sekadar membina satu lagi cabang perniagaan, sebaliknya membuka ruang kepada pengguna mendapatkan bekalan daging halal tempatan dan luar negara dengan lebih mudah, telus dan tersusun.
Dalam perkembangan terbaru, beliau yang juga pengasas bersama DAEM melancarkan Integrated Management Autonomous Network (IMAN) berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan pelanggan menyemak inventori, membuat tempahan dan pembayaran menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurut Alif, selepas melalui fasa awal pembangunan perniagaan secara fizikal, teknologi IMAN menjadi langkah seterusnya untuk membawa akses terus kepada produk daging ke platform digital.

“Sekarang ini orang sudah tahu di mana hendak mendapatkan daging ternakan. Sama ada kambing untuk korban, akikah, BBQ atau produk seperti wagyu, semuanya boleh dihantar terus kepada pelanggan.
“Dengan adanya IMAN, pelanggan boleh mengetahui apa yang ada dalam inventori dan terus membuat pembelian. Buat masa ini, perkhidmatan penghantaran meliputi Kuala Lumpur dan kawasan Lembah Klang,” katanya ketika ditemui di Serdang baru-baru ini.
Pelancaran IMAN disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak di ruang jualan DAEM, Laman Veterinar sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2026) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron dan Pengasas Bersama DAEM, Muhammad Radhi Azizan.
Lebih menarik ujar Alif, pelanggan tidak perlu memuat turun aplikasi baharu dan mereka hanya perlu mengimbas kod QR sebelum berinteraksi dengan chatbot IMAN melalui WhatsApp.
“Pendekatan itu dilihat selari dengan perubahan gaya hidup pengguna yang semakin bergantung kepada transaksi digital, selain memberi pengalaman pembelian yang lebih pantas dan mudah.
“Namun bagi DAEM, teknologi bukan satu-satunya perkara yang perlu dibangunkan. Aspek kepercayaan pengguna terhadap kualiti dan pengendalian produk turut diberi perhatian,” jelasnya.
Mobile butcher di masjid
DAEM turut menyediakan konsep Meat Nomads menerusi trak atau mobile butcher yang ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk di masjid di Bukit Damansara, Taman Tun Dr Ismail dan Subang Jaya.

Menurut Alif, kewujudan mobile butcher itu membolehkan pelanggan melihat sendiri produk serta memahami tahap kualiti dan perkhidmatan yang ditawarkan sebelum beralih kepada pembelian secara digital.
“Walaupun dunia sekarang digital dan semuanya dalam talian, masih ada orang yang mahu melihat sendiri daging itu, kualitinya dan bagaimana kita melayan pelanggan.
“Apabila mereka sudah kenal dan percaya dengan kualiti kita, selepas itu mereka hanya perlu imbas kod dan IMAN akan menguruskan urusan pembelian,” katanya.
Dalam pada itu, penglibatan Alif dalam industri berkenaan memasuki tahun kedua dan beliau mengakui masih baharu dalam bidang tersebut.
Namun katanya, asas perniagaan yang kukuh serta sokongan rakan-rakan yang mempunyai kepakaran dalam industri menjadi faktor penting untuk memastikan usaha berkenaan terus berkembang.
“Alif pun tidak tahu bagaimana boleh terjerumus dalam bidang ini, tetapi apa sahaja yang Alif buat, Alif akan buat dengan penuh minat.

“Alif masih lagi baharu atau greenhorn dalam dunia ini, tetapi Alif ada orang yang tepat untuk membantu. Ini adalah langkah pertama dan potensinya sangat luar biasa untuk masa depan,” katanya.
Sasar 2,000 kambing sebulan
Selari dengan tema “Penciptaan Nilai demi Keterjaminan Makanan” bagi MAHA 2026, DAEM berusaha membangunkan ekosistem farm-to-table yang menghubungkan sumber ternakan, pengeluaran, inventori, teknologi, penghantaran dan pengguna.
Ujar ikon anak muda melalui kempen Subuh macam Jumaat itu, DAEM menyasarkan jualan kira-kira 2,000 ekor kambing sebulan khususnya menerusi kempen ibadah korban, akikah dan bekalan daging kambing kepada pengguna.
Perkembangan tersebut memperlihatkan bagaimana ekosistem halal tidak hanya berkisar kepada sijil atau logo halal, tetapi turut melibatkan keseluruhan rantaian bekalan, daripada sumber ternakan, pengendalian, penyimpanan, pemprosesan sehingga produk sampai ke tangan pengguna.
Bagi DAEM, usaha itu bukan sahaja membuka peluang perniagaan dalam sektor halal, malah berpotensi menyumbang kepada agenda lebih besar negara dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan keupayaan sumber ternakan tempatan.
Daripada pentas hiburan kepada dunia ternakan dan daging halal, perjalanan Alif bersama DAEM membuktikan bahawa inovasi dalam industri halal boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuk apabila teknologi AI, perniagaan, ibadah dan keperluan pengguna disatukan dalam satu ekosistem.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

