Mengapa yoga diharamkan?

Soalan
Apabila menyentuh mengenai senaman yoga, ada yang menyatakan ia haram dilakukan oleh umat Islam. Mengapakah ia haram sedangkan yoga hanyalah senaman fizikal?
Jawapan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan kali ke-83 yang bersidang pada 22 hingga 24 Oktober 2008 telah membincangkan mengenai kedudukan senaman yoga dalam kalangan umat Islam.
Muzakarah memutuskan bahawa yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu dan menggabungkan amalan fizikal dengan unsur keagamaan, mantra dan pemujaan bagi tujuan tertentu termasuk mendapatkan ketenangan dan penyatuan diri dengan tuhan, adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah Muslim.
Oleh itu, amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.
Berdasarkan kepada fatwa tersebut, asas pengharaman senaman yoga bukanlah kerana seseorang itu melakukan senaman, meregangkan badan atau duduk bersila, tetapi kerana sebahagian daripadanyamempunyai kerangka keagamaan dan kerohanian yang tidak selaras dengan akidah Islam.
Secara ringkasnya, terdapat beberapa unsur yang menjadi perhatian fatwa penyebab pengharamannya iaitu:
1 – Mantra (bacaan tertentu)
Sesetengah bentuk yoga bukan sedakar latihan fizikal, tetapi disertai dengan bacaan atau mantra yang mempunyai latar keagamaan Hindu.
2 – Pemujaan
Jika sesuatu sesi yoga memasukkan unsur pemujaan atau ritual kepada sesuatu selain ALLAH, perkara tersebut jelas bercanggah dengan tauhid.
3 – Konsep penyatuan diri dengan tuhan
Ini merupakan antara perkara paling serius dari perspektif akidah. Dalam sesetengah aliran yoga, latihan fizikal dan meditasi dikaitkan dengan matlamat kerohanian tertentu termasuk mencapai keadaan penyatuan diri dengan Tuhan.
4 – Falsafah dan amalan kerohanian yang mengiringinya
Yoga mempunyai pelbagai aliran dan tidak semuanya diamalkan dengan bentuk yang sama.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, yoga mempunyai hubungan dengan tradisi dan falsafah Hindu seperti Karma Yoga, Raja Yoga, Bhakti Yoga dan Jnana Yoga.
Perlu diingatkan bahawa keputusan muzakarah sendiri menyatakan bahawa pergerakan fizikal tanpa unsur keagamaan, mantra dan pemujaan, pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.
Namun umat Islam tetap diingatkan supaya berhati-hati terhadap perkara yang boleh menghakis akidah.
Sebagai contoh, jika seseorang melakukan regangan badan, latihan fleksibiliti, latihan pernafasan untuk kecergasan, pengukuhan otot dan senaman untuk sakit belakang dan ia semata-mata atas tujuan kesihatan, maka ia dibenarkan dengan syarat tanpa mantra, ritual, pemujaan atau kepercayaan agama lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

