JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperkenalkan Program MyLesen Kadet JPJ di seluruh negara sebagai menggalakkan para pelajar untuk memiliki lesen motosikal yang sah bermula penghujung tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, program berkenaan memberi keutamaan kepada keahlian Kadet JPJ di seluruh negara dengan bayaran sebanyak RM199.

"Setakat ini terdapat 222 buah sekolah di seluruh negara membabitkan keahlian seramai 9,689 menyertai Kadet JPJ dan daripada  jumlah itu sebanyak 22 sekolah bersama 1,168 ahli menyertai Kadet JPJ di Johor.

"Program ini diharap dapat membantu rakyat khususnya golongan belia yang berumur 16 tahun keatas yang mempunyai masalah untuk mendapatkan lesen motosikal B2," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Perkhemahan Kadet JPJ Peringkat negeri di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Johor (Kem Tasek Utara), di sini, hari ini.

Hadir sama; Timbalan Pengarah JPJ negeri, Azmil Zainal Adnan.

Perkhemahan yang bermula Jumaat lepas hingga hari ini melibatkan penyertaan 245 pelajar dari tujuh sekolah seluruh Johor.

Wan Ahmad Uzir berkata, menerusi program tersebut, pelbagai program termasuk kursus, latihan menunggang motosikal dan menduduki ujian akan diadakan di sekolah.

"KIta buka program ini hanya kepada keahlian Kadet JPJ sahaja dan sebagai permulaan kita buka peluang kepada ahli kadet yang berumur 16 tahun dahulu.

"Kita turut menjangkakan pelaksanaan program ini akan menambah lagi bilangan ahli Kadet JPJ di seluruh negara  kerana ia turut meringankan beban bagi mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan lesen motosikal," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kira-kira 60 peratus penunggang motosikal berumur 16 hingga 25 tahun ke atas di negara ini tidak memiliki lesen.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.