• Zambry Abd Kadir Zambry Abd Kadir
1 /

PANGKOR - Cadangan pembangkang supaya ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi kerusi Parlimen Lumut pada pilihan raya umum ke-13 dilihat sebagai satu tindakan terdesak dan cuba menagih simpati rakyat.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pembangkang khasnya di negeri ini semakin kehilangan sokongan berikutan pelbagai pendekatan yang dibuat Barisan Nasional (BN) dalam usaha membantu rakyat.

"Apa yang disuarakan itu adalah hak mereka tetapi saya hairan dan agak teruja apabila Ketua Pembangkang itu dicadangkan bertanding di Lumut. Kita melihat tindakan membawa Anwar bertanding di Perak sebagai suntikan semangat kepada pembangkang bagi mengatasi kelebihan BN yang terus mendapat tempat di hati rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menyampaikan cek pinjaman Tekun dan Yayasan Basmi Kemiskinan pada Program RTM Merentas Kampung Bersama TM di Arena Square, Pulau Pangkor di sini.

Zambry berkata beliau berasa agak 'teruja' dengan cadangan Pemuda PAS Perak yang kelihatan seperti memujuk Anwar untuk bertanding bagi Parlimen Lumut.

Beliau mengulas cadangan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss baru-baru ini supaya Anwar sebagai calon kerusi Parlimen Lumut.

Zambry yang Pengerusi BN Perak dan anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata tindakan itu menunjukkan pembangkang di Perak mahu ketua mereka itu menjadi penyelamat dalam PRU-13 nanti.

"Saya sendiri berasa hairan apabila pihak pembangkang khususnya PAS begitu beria-ia mahu Anwar di Perak. Hanya kerana manusia kecil seperti saya, pembangkang terpaksa 'angkut' Anwar untuk lawan BN. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan pembangkang hingga sampai ke peringkat merayu-rayu kepada ketua pembangkang agar datang dan bertanding di negeri Perak," katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga anggota Parlimen Parlimen Lumut ketika mengulas perkara yang sama berkata beliau tidak gentar menghadapi pemimpin pembangkang itu jika benar beliau bertanding di Parlimen Lumut.

"Saya sudah bertanding tiga kali di sini...dan sedia bertanding menghadapi sesiapa sahaja. Rakyat boleh membuat penilaian sewajarnya terhadap khidmat wakil rakyat BN sejak tiga penggal yang lepas," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry mengingatkan pemimpin parti yang tidak terpilih sebagai calon pilihan raya umum ke-13 supaya tidak berkecil hati, sebaliknya mereka sewajarnya terus memberi sokongan kepada calon BN.

Ini, katanya, akan memastikan kelangsungan kuasa mentadbir negara terus kekal di tangan parti gabungan itu.

Mereka yang terpilih sebagai calon BN pula diingatkan supaya tidak menganggap pemilihan itu sebagai satu kedudukan istimewa, bahkan perlu bekerja keras berkhidmat untuk rakyat, katanya.

Zambry, yang juga Pengerusi BN Perak, berkata senarai nama calon BN negeri kini berada di peringkat saringan akhir termasuk tapisan keselamatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memastikan calon itu bebas daripada kes bankrap dan rasuah. - Bernama