KUALA LUMPUR - Calon Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Umno akan merampas semula Putrajaya tanpa pilihan raya yang rumit.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, perkara itu berdasarkan ketidakstabilan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan).

"Kita tahu mereka mereka goyah. Kita mempunyai ahli Parlimen yang paling ramai. Pilih saya dan saya tahu apa yang perlu dibuat," katanya kepada perwakilan Umno Wilayah Persekutuan semasa taklimat tertutup di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Umno ketika ini mempunyai 54 kerusi dalam Parlimen.

Pemangku Presiden itu berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan semua orang.

"Saya baik dengan orang baru saja keluar," katanya yang dipercayai merujuk kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan dari penjara pada bulan lalu.

"Saya baik dengan orang di Sabah dan Sarawak malah orang yang dulu di Pulau Pinang. Mereka dari Amanah saja yang saya tak berapa baik," katanya.

Beliau menambah, enam minggu Harapan memerintah, kerajaan itu masih mempunyai pemikiran pembangkang.

Kenyataan itu dibuat sebagai merujuk cadangan kerajaan melarang tukang masak warga asing bekerja di restoran tempatan yang diumumkan minggu lalu.

Bagi merebut kerusi Presiden, Zahid akan bersaing dengan lima lagi calon termasuk veteren Umno Razalegh Hamzah dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan baharu macam tempe]