KUALA NERUS - Keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno memecat bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada parti membuktikan Umno tidak mengamalkan budaya 'double standard'.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata mana-mana pemimpin sama ada yang mempunyai kedudukan dalam kepimpinan tertinggi parti atau sebaliknya, tetap dikenakan tindakan jika didapati bersalah dan melanggar disiplin parti.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata mereka yang melakukan kesalahan terutama melanggar disiplin parti, tidak boleh lari daripada dikenakan tindakan sewajarnya.

"Badan Perhubungan Umno Terengganu turut menyokong tindakan dibuat MT kerana keputusan itu dibuat mengikut keputusan sebulat suara oleh jawatankuasa MT selain mempunyai asas yang kukuh.

"Apabila kita menganggotai organisasi, kita kena terikat dengan peraturan dan juga tatacara.

"Apabila berlaku perlanggaran disiplin, ia tak kira sama ada jawatan tertinggi atau rendah ataupun anggota biasa, tindakan tetap dikenakan jika bersalah," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Dana Raya 2016 bagi Kampung Batin dekat sini, semalam.

Jumaat lepas, Umno memecat Muhyiddin dan Mukhriz kerana melakukan pelanggaran disiplin, manakala Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga digantung keanggotaannya sehingga Majlis Tertinggi Umno menerima laporan daripada Lembaga Disiplin dan Tatatertib parti.

Ditanya sama ada tindakan itu boleh menjejaskan kekuatan Umno selepas ini, beliau yakin Umno Terengganu tetap setia dan bertambah teguh memandangkan parti itu sendiri sentiasa menitikberatkan soal disiplin.

"Saya yakin ini akan memperkukuh lagi Umno," ujarnya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.