PUTRAJAYA - Teka-teki berhubung gambar pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tular semalam terjawab.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa Ahmad Zahid bertemunya untuk mendapatkan nasihat berhubung apa yang berlaku dalam Umno sehingga parti itu ditolak dalam PRU14 baru-baru ini.

“Dia nak tahu cara macam mana nak uruskan Umno. Jadi saya berterus terang bahawa Umno sudah mengkhianati orang Melayu. Saya ingatkan kepadanya, kita tubuh Umno untuk tolong orang Melayu tetapi kini Umno berubah dan mengutamakan kekayaan diri.

“Sebab itu Umno dibenci sekarang ini. Umno nak pulih susah. Dulu dipandang mulia sekarang dipandang jijik,” katanya dalam sesi wawancara khas bersama Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.

Ahmad Zahid sebelum itu memuat naik sekeping gambar bersama Dr Mahathir di Facebooknya.

Menerusi perkongsian itu, beliau memaklumkan bahawa pertemuan itu dibuat sempena bulan Ramadan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid jumpa Mahathir]

Pertemuan itu merupakan pertemuan rasmi pertama antara Ahmad Zahid dan Dr Mahathir selepas BN mengalami kekalahan dalam PRU14 lalu.

Dr Mahathir ketika ditanya apakah nasihat yang diberikan kepada Ahmad Zahid berhubung pertemuan itu, beliau hanya berkata; “Saya kata dia fikir sajalah apa yang saya katakan”.

Ditanya apakah Ahmad Zahid berjumpa dengan beliau untuk menyertai Pakatan Harapan, Dr Mahathir hanya ketawa.

“Kita tidak pandang sesiapapun nak masuk Pakatan Harapan terutamanya Bersatu. Kalau orang itu orang politik, dia perlu putus hubungan dengan partinya, menjadi bebas dan ikrar sokong kerajaan,” katanya.

Pada PRU14 lalu, BN memenangi 79 kerusi Parlimen daripada 222 kerusi dipertandingkan.