KUALA LUMPUR - Perubahan landskap politik pasca PRU14 menjadikan hubungan Umno dan Pas semakin erat.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, Umno dan Pas akan menjalin kerjasama sekiranya terdapat isu-isu yang boleh dibincangkan bersama.

“Kita kerjasama melalui kes-kes atas dasar taawun, landskap politik baharu membantu kita (kerjasama) lebih rapat sesama sendiri.

“Akan datang mungkin ada pilihan raya kecil (PRK). Buat masa ini jika ada isu, kita akan duduk dan bincang. Kadangkala kita beri pendapat berbeza, setuju untuk tidak bersetuju, kadangkala kita ada persetujuan bersama,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kerjasama antara Umno dan Pas selepas dilihat keluar dewan bersama-sama ketika majlis pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md Yunos sebagai Speaker Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Ketika itu hampir semua wakil BN dan Pas kecuali Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Seri Anifah Aman keluar dewan.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Umno tak akan ganti Zahid dengan Najib ]

Annuar berkata, sehari sebelum pelantikan itu, lima parti termasuk Umno, Pas, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), MIC dan MCA mengadakan pertemuan bagi membincangkan langkah-langkah yang akan diambil sekiranya tidak diberikan peluang bercakap ketika pelantikan speaker.

“Kita tak putuskan untuk bantah pelantikan dan boikot, tapi kalau tak diberi peluang bercakap kita akan keluar sebentar bertemu media dan masuk semula,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak terburu-buru dalam sesebuah keputusan bersama Pas kerana ‘perjalanannya masih panjang’.

“Kita tak terburu-buru, perjalanannya masih panjang, yang penting kita bersikap terbuka dengan pembangkang hatta kerajaan, pihak dalam kerajaan termasuk Bersatu, parti minoriti perlukan sokongan kita, kita akan sokong kalau benda tu baik untuk rakyat," katanya.