Nada tiga sayap UMNO teras usul PAU, penentu strategi hadapi PRU16 - Ahmad Maslan

PONTIAN – Usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan menjadi penentu kepada strategi dan hala tuju parti, khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul berkenaan dirangka dengan mengambil kira pandangan serta nada yang dibawa oleh tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, sebelum dimuktamadkan di peringkat MKT.
"PAU yang menghimpunkan 191 UMNO Bahagian akan berlangsung dari Rabu hingga Sabtu ini. Mesyuarat MKT khas akan diadakan pada malam Khamis bagi membincangkan dan meluluskan usul Perhimpunan Agung UMNO.
"Usul itu digubal berdasarkan intipati yang diperoleh daripada ketiga-tiga sayap dan akan dibentangkan pada Jumaat dan Sabtu, sebelum dijangka diluluskan oleh MKT," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Parit Jawa, di sini pada Ahad.
PAU 2025 dijadual berlangsung selama empat hari bermula pada Rabu, dengan seramai 6,412 perwakilan telah mengesahkan kehadiran.
Daripada jumlah itu, seramai 2,928 perwakilan akan menghadiri PAU; manakala Perhimpunan Agung Wanita melibatkan 1,165 orang, Pemuda (1,173 orang) dan Puteri (1,146 orang).
Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menegaskan bahawa usul PAU kali ini amat penting kerana ia akan menjadi asas kepada perancangan menghadapi PRU16.
"Kebiasaannya, usul ini mengandungi dua hingga tiga muka surat yang merangkumi beberapa perkara penting melibatkan strategi dan perancangan parti.
"Usul Perhimpunan Agung UMNO sangat signifikan kerana ia akan menentukan perancangan parti bagi tahun 2026, 2027 dan persediaan menghadapi PRU16 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor," katanya lagi.
Pada Jumaat lalu, UMNO dilaporkan menerima 662 usul daripada 175 bahagian sempena PAU 2025, dengan tiada usul dikemukakan yang mencadangkan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, semua usul itu dikemukakan hasil persidangan UMNO Bahagian tahun lalu, dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 133 usul, daripada keseluruhan 191 bahagian.
Ringkasan AI
- Usul Perhimpunan Agung UMNO menjadi penentu strategi dan hala tuju parti untuk PRU16
- Usul itu disusun berdasarkan pandangan tiga sayap parti dan akan diluluskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO
- Perhimpunan Agung UMNO dihadiri oleh 6,412 perwakilan dari empat sayap parti
- Usul PAU menjadi asas kepada perancangan parti untuk menghadapi PRU16
- UMNO menerima 662 usul daripada 175 bahagian untuk PAU 2025, dengan tiada usul mencadangkan keluar dari Kerajaan Perpaduan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

