KOTA BHARU - Pas menempelak sikap pimpinan Bersatu berterusan menyerang parti Islam itu dengan bermodalkan maklumat yang dipungut di tepi jalan.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sudah cukup Bersatu menjaja hubungan baik Pas dan Umno sehingga menuduh parti bekerjasama dalam soal kerusi pada PRU14 nanti.

Menurutnya, Pas secara konsisten sejak dari dahulu lagi menerusi Majlis Syura Ulamak telah membuat penafian yang mana secara jelasnya tiada sebarang kerjasama dengan Umno.

“Bahkan semua kerusi kita lawan Umno. Di Kelantan pun tak ada menunjukkan kerjasama Umno dengan Pas, mereka pindahkan undi dan sebagainya, itu membuktikan tuduhan itu bohong.

“Saya fikir kalau kita pimpinan yang percaya kepada maklumat tepi jalan, kita tidak layak bercakap sebagai pemimpin. Saya fikir beliau sepatutnya dapatkan maklumat yang betul,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu sempena perasmian Tabung Ihya Ramadan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar raya Islam (MPKB-BRI) yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkan Pas mahupun Umno tidak akan letakkan calon jika salah satu daripada parti itu bertanding di mana-mana kerusi pada PRU14 nanti.

Majlis Syura Ulamak juga telah mengeluarkan surat rasmi dalam soal hubungan dengan Umno dan Pas, oleh itu Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan terus memperkasakan blok ketiga tanpa menoleh ke belakang lagi untuk menghadapi pilihan raya umum.

Mengulas lanjut perkara itu, Tuan Ibrahim menyifatkan kesungguhan Bersatu menyerang parti itu habis-habisan kerana masih mengharapkan Pas menyertai Pakatan Harapan.

“Kita sudah nyatakan tak akan bersama Pakatan Harapan kerana prinsip yang kita bawa sering ditentang oleh beberapa kumpulan dalam pakatan tersebut,” katanya.

Tuan Ibrahim juga menganggap sekiranya parti itu datang ke Kelantan dengan menganjurkan pelbagai program ia bukannya dilihat sebagai jalan untuk membantu Pas sebaliknya memberi tongkat kepada Umno.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.