SHAH ALAM - Rakyat boleh menterjemahkan kegelisahan sepanjang lebih sebulan tempoh kerajaan baharu memerintah negara ini dalam PRK Dun Sungai Kandis, bulan depan.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan berkata, beliau ada mendengar keluhan rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) atas pelbagai isu dan PRK itu merupakan platform terbaik untuk menzahirkannya melalui kertas undi.

“(Penilaian rakyat terhadap kerajaan nilai tambah BN) Wallahualam tapi Insya-ALLAH  kerana rakyat juga ada yang gelisah dengarnya jadi elok kita mengukur sejauh mana kegelisahan itu dapat diterjemahkan dalam PRK ini.

“Daripada situ kita boleh mengukur adakah benar rungutan dan khabar yang kita dengar. Jadi, kita perlu seru rakyat dalam pilihan raya ini menterjemahkan kegelisahan mereka, kekesalan mereka supaya kita dapat mengukur dan kerajaan PH perlu sedar supaya tidak ambil kesempatan ke atas rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau hadir sebagai tanda sokongan kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam bersama pimpinan-pimpinan tertinggi parti di pusat penamaan calon seawal jam 8 pagi.

Menyifatkan pemilihan Lokman sebagai calon tepat, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mendedahkan Lokman memperolehi markah paling tinggi berbanding nama lain yang disenaraipendekkan.

Berlatar belakangkan aktivitis di bawah NGO yang suarakan isu masyarakat, saya percaya Lokman calon yang boleh memberi impak positif kepada BN dalam PRK ini.

“Dia bukan lantang sejak kebelakangan ini tapi daripada dulu lagi... sebagai seorang aktiviti sosial sejak zaman reformasi dulu. Banyak isu-isu yang diperkatakan, jadi sebagai orang yang sudah biasa dengan keadaan begini, beliau orang yang tepat,” katanya.

Katanya, BN menekankan mengangkat suara rakyat dalam manifesto kali ini dan kemenangan BN di Dun Selangor nanti memberi peluang penambahan suara rakyat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan belum memutuskan apa-apa berkaitan Dun Bakalong susulan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee, Jumaat lalu.

“BN belum putuskan dan kita akan mesyuarat sama ada sesuai BN bertanding atau siapa (parti) yang bertanding.

“Kalau BN bertanding pun, komponen mana yang akan kita bagi peluang bertanding di kawasan tersebut,” katanya.