PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata surat pemecatan kepada pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum 5 Mei ini, akan dikeluarkan pada Isnin.

Perdana menteri yang juga pengerusi BN berkata langkah itu dibuat bagi menjaga disiplin anggota BN supaya memberi keutamaan kepada parti daripada kepentingan peribadi.

"Salah satu ketetapan, sesiapa (pemimpin dan anggota BN) yang bertanding atas tiket Bebas, tidak boleh kekal sebagai ahli parti.

"Oleh itu, parti akan ambil tindakan pada Isnin ini untuk keluarkan surat memecat ahli-ahli yang bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kali ini," katanya ketika berucap pada jamuan tengah hari di kediaman beliau, di sini hari ini.

Antara anggota BN yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU13 ini ialah Naib Ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar (Perak) dan bekas Ketua Bahagian Umno Tasek Gelugor Datuk Seri Mohd Shariff Omar bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor (Pulau Pinang).

Kamilia akan menentang calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Khalil Idham Lim daripada Pas manakala Mohd Shariff mencabar Shabudin Yahaya (BN) dan Datuk Seri Abdul Rahman Maidin (Pas).

Najib berkata, bukan menjadi kesalahan kepada BN memecat anggota dan pemimpinnya yang belot kerana tindakan itu perlu dan penting bagi menjaga disiplin parti.

Beliau berkata, jika disiplin BN tidak dijaga, ia boleh merosakkan parti berkenaan.

"Kalau ada satu dua yang terpaksa kita korbankan, lebih baik kita korbankan mereka daripada kita korbankan parti yang kita kasihi," katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.