ALOR SETAR  -  Senarai calon Pas Kedah bertanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) didakwa ‘senarai haram’ kerana dibuat tanpa prosedur setelah senarai sedia ada dirombak sebanyak tiga kali, tanpa mendapat persetujuan akar umbi.

Sumber Pas cawangan Alor Mengkudu berkata, senarai baru itu didakwa dirombak bagi mencantas atau membunuh karier politik pemimpin tertentu yang dilihat tidak sehaluan dengan Pesuruhjaya Pas, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan perubahan itu dibuat oleh tangan-tangan ghaib dalam Pas Kedah.

“Prosedur memilih calon diamalkan sebelum ini, dengan meminta pandangan akar umbi, terutama kawasan dan cawangan. Panggil semua Dun dan Parlimen adakan pungutan suara dengan mengundi atas kertas, untuk dapatkan senarai calon pilihan sebelum ke Pusat,” katanya.

Menurutnya, senarai calon asal yang diperakui semua pihak itu dibuat dua tahun lalu.

“Senarai itu diubah oleh dua tiga tangan ghaib dalam Pas Kedah sebanyak tiga kali tanpa ikut prosedur, bermakna tidak sah. Pandangan akar umbi tidak diminta, hanya libatkan mereka untuk buat rombakan itu. Sebab itu saya kata ia senarai haram, senarai itulah yang ada pada Pusat sekarang,” katanya.

Sumber berkata, perubahan yang dibuat tanpa persetujuan akar umbi selain tidak dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi parti adalah menyalahi prosedur.

“Kita ada tiga mesyuarat utama, iaitu mesyuarat harian negeri, mesyuarat politik dan perhubungan Pas negeri. Namun perkara itu tidak dibentang dan dibincangkan walaupun ada permintaan. Seolah pihak tertentu cuba elak untuk dedahkan senarai baru,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bimbang perubahan itu didorong oleh agenda peribadi pihak tertentu yang tidak menyenangi pemimpin yang dikaitkan dengan golongan pemberontak.

Jumaat lalu, Azizan menafikan Pas Kedah menyerahkan senarai baru kepada Pusat dengan mengetepikan calon-calon yang dilihat menentang Azizan termasuk mereka yang mahu menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar.

Antara yang dikaitkan ialah Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah; Datuk Dr Ismail Salleh (Exco); Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib (Exco) dan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Ahli Parlimen Pendang).

Difahamkan, Phahrolrazi akan ditukarkan dari Dun Pengkalan Kundor ke kerusi Parlimen Jerlun, manakala Ismail dan Hamdan digugurkan, termasuk Mohd Hayati kerana memberi laluan kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Sumber menyifatkan sebarang perubahan yang tidak mendapat restu akar umbi hanya merugikan parti kerana dibimbangi berlaku undi protes.

“Bila tidak dibawa bincang, peringkat bawahan tidak puas hati dan protes. Bimbang Pas hilang undi dalam PRU13 kelak,” katanya.

Katanya, seeloknya sebelum kata putus dibuat di peringkat Pusat, negeri perlu turun padang menyelami pandangan akar umbi.

“Kita tiada masalah jika berlaku perubahan calon di saat akhir, cuma ia perlu dibuat ikut prosedur,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Pakatan Harapan akan melakukan pendaftaran jawatankuasa gabungan tersebut secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) selepas cuti Hari Raya Aidilfitiri ini.
  • NIBONG TEBAL - Umno Pulau Pinang mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng memperincikan bayaran kepada pemegang konsesi untuk projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa empat kali ganda lebih mahal.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.