PASIR PUTEH - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengakui masih sayang kepada Pas tetapi kecewa kerana partinya itu tidak mahu merebut peluang dengan membina kekuatan bersama parti-parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN dalam PRU14 nanti.

Katanya, Pas tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan mereka lebih berpengalaman dalam politik lalu mengenepikan parti-parti lain.

"Jangan perlekehkan parti-parti dalam Pakatan Harapan, jika berlaku pertembungan tiga penjuru, saya yakin Pakatan Harapan boleh menang.

"Saya kecewa dalam keadaan Umno bergolak dan lemah sehingga sebahagian pemimpinnya menubuhkan parti baharu, Bersatu, kita pembangkang tidak boleh bersepakat, tidak boleh berbincang untuk mencari titk pertemuan.

"Kalau suatu ketika dulu kita boleh berkerjasama dengan Berjasa yang pernah menyebabkan Pas hilang kuasa, kenapa kita tidak boleh menerima parti-parti dalam Pakatan Harapan hari ini," katanya ketika berceramah dalam program Ceramah Perdana Pakatan Harapan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kenyataan beberapa pemimpin Pas akhir-akhir ini dilihat lebih membela Umno termasuk dalam isu siasatan kes 1MDB menimbulkan keraguan ahli Pas sendiri.

"Saya minta ahli Pas desak pemimpin mereka untuk kembali bersama parti-parti pembangkang kerana mengambil alih kerajaan yang ada merupakan satu-satunya jalan penyelesaian.

"Umno-BN dah tak boleh diubati, dah tak boleh dibaiki, kita kena ambil alih kuasa jika benar mahu menyelamatkan negara dan membela nasib rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, bagaimana Pas mahu mengambil alih kerajaan dengan hanya bertanding di 100 kerusi Parlimen sedangkan Pas perlu memenangi 112 kerusi Parlimen sebagai majoriti mudah untuk mengambil alih kerajaan.

"Bertanding 100 daripada 222 kerusi Parlimen, sasar atau yakin menang 40 kerusi, macamana.nak ambil alih kerajaan, jadi apa yang  Pas mahukan sebenarnya," katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yakin sokongan rakyat akan lebih kukuh ke atas Pakatan selepas mendengar ‘omongan’ Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2017, baru-baru ini.
  • KUALA LUMPUR - Tindakan Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang mengumumkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu isyarat jelas kepada ahli dan kepimpinan Pas untuk beralih sokongan kepada Pakatan Harapan selepas ini.
  • SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar enggan meninggalkan Pas kerana ada 'mesej' yang ingin disampaikan kepada ahli parti.
  • SHAH ALAM - Pas belum memecat Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kerana parti itu mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap PRU14.
  • SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa partinya telah diperdaya dalam isu 'penjelasan 1MDB'.