CYBERJAYA - Rundingan kerjasama politik antara Pas dan Bersatu berakhir sebaik sahaja parti yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad itu secara rasmi menyertai Pakatan Harapan.

Ini kerana menurut Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, keputusan itu diambil berdasarkan pendirian Pas yang tidak mahu turut bekerjasama dengan parti yang ada kaitan dengan DAP dan Amanah.

"Secara rasmi tiada kerjasama, kalau itulah rasminya Bersatu (menyertai Pakatan Harapan)," katanya pada sidang medianya selepas menghadiri Konvensyen Profesional Malaysia, di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian bagi mengulas mengenai status kerjasama Pas dengan Bersatu selepas parti baharu itu secara rasmi menyertai Pakatan Harapan baru-baru ini.

Bersatu Selasa lalu secara rasmi mengumumkan penyertaannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun mencadangkan supaya gabungan itu diberi beberapa pembaharuan.

"Bersatu mencadangkan agar gabungan menggunakan nama baharu, satu logo, satu simbol dan satu manifesto untuk menghadapi pilihan raya," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabatnya.

Mahathir berkata, melalui gabungan itu nanti, mereka bersetuju hanya akan meletakkan satu calon dalam satu kawasan.

Pakatan Harapan merupakan pergabungan tak rasmi antara parti politik pembangkang di Malaysia yang bertindak selaku pewaris Pakatan Rakyat.

Parti campuran ini ditubuhkan pada 22 September 2015, terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan terbaharu Bersatu.

Sementara Pas kini membentuk pakatan blok ketiga pembangkang Gagasan Sejahtera bersama-sama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bersetuju memberi ruang kepada Bersatu untuk mengemukakan surat cadangan mengenai bagaimana untuk melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) berdasarkan situasi yang dialami parti itu.
  • KOTA BHARU - Kelemahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyelesaikan masalah remeh pendaftaran parti itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membuktikan kepimpinan parti itu tidak layak untuk mentadbir negara ini.
  • SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yakin konsep dan prinsip penyatuan merupakan elemen penting kepada kelangsungan survival politik Melayu dan Islam.
  • BALING - Pas menyifatkan Pas dan Umno bukannya 'keli dan sembilang' yang tidak boleh disatukan dalam mendaulatkan sebuah kerajaan Islam.
  • SHAH ALAM - Kepimpinan tertinggi Pas hari ini terus berdepan cabaran bukan hanya daripada luar tetapi juga dalam kalangan ahlinya sendiri.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.