SUNGAI SIPUT - Umno Bahagian Sungai Siput optimis akan melakar kejutan, sekali gus merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Siput dan Dun Jalong  daripada pembangkang pada PRU14 akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN mampu meraih kemenangan di kedua-dua kawasan itu berdasarkan rekod pilihan raya terdahulu selain memperbanyakkan program turun padang.

"PRU11 kita menang di Sungai Siput, manakala Dun Jalung kita menang pada PRU12, jadi tiada sebab kita tak boleh menang (semula).

“Cuma pemahaman kaum bukan Melayu terutama Cina dan India perlu ditingkatkan agar mereka memahami agenda yang ingin dibawa kerajaan," kata Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Siput di sini, hari ini.

Semua 24 Bahagian Umno di seluruh Perak kini telah selesai mengadakan persidangan perwakilan.

Dalam pada itu, berucap pada majlis sama, Ketua Umno bahagian itu, Datuk Dzolkafly Harun berkata, banyak gerak kerja telah diusahakan sejak beberapa tahun lalu bersama parti komponen BN termasuk meningkatkan jumlah anggota parti.

“Sebagai contoh, Umno bahagian ini sendiri telah berjaya menambah bilangan anggota parti lebih 2,000 orang dan daripada jumlah itu lebih separuh telah berdaftar sebagai pengundi baru tidak termasuk pengundi yang telah didaftarkan oleh  MCA atau MIC bahagian.

“Pertambahan itu memberi satu rangsangan yang positif untuk kita merampas kembali kedua-dua kerusi itu daripada pembangkang," katanya.  

Kerusi Parlimen Sungai Siput kini dipegang Michael Jeyakumar Devaraj dari Parti Keadilan Rakyat, manakala Dun Jalong diwakili Loh Sze Yee dari DAP.- Bernama