‘PN tak layak ganti UMNO’ - Razlan

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak layak menggantikan parti berkenaan susulan penahanan anak Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, Mohd Shukri sebelum ini mendakwa bahawa PN bersedia menjadi pengganti sambil menyifatkan lumrah kehidupan ada naik dan turun.

Menurutnya, kenyataan itu seolah-olah kerajaan PN Perlis kini merupakan pentadbiran terbaik berbanding di bawah UMNO.

“Rupa-rupanya apa yang disebut Mohd Shukri ibarat kifarah apabila pentadbirannya sendiri ternyata bukanlah yang terbaik, malah tidak bersih dan stabil seperti dilaungkan pemimpin-pemimpin PN.

“Banyak kelemahan dan isu rakyat masih gagal ditangani negeri-negeri pimpinan PN termasuk Perlis, umpamanya masalah air yang tidak pernah selesai, projek-projek dirancang tidak ditunaikan tetapi mendabik dada kononnya mereka terpaling ‘best’,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan, anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan perintah reman terhadap kesemua suspek bermula Rabu sehingga Khamis selepas mendapat permohonan SPRM bagi menjalankan siasatan bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurut sumber, turut ditahan dua penjawat awam di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, dan selebihnya merupakan kontraktor syarikat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai penahanan tersebut, Mohd Razlan berkata, UMNO menuntut Mohd Shukri memberi penjelasan kepada rakyat tentang peranan anaknya dalam kerajaan negeri.

“Apa yang amat mengejutkan dan menimbulkan persoalan adalah bagaimana anak seorang menteri besar yang tiada kena mengena dengan pentadbiran negeri, boleh terlibat sama dalam siasatan ini?

“Semua ini menuntut penjelasan pimpinan negeri, terutama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

“Rakyat perlu tahu dan diberikan penjelasan yang tuntas kerana ia berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022,” tegasnya.

Tambah beliau, UMNO turut menantikan reaksi pimpinan tertinggi Pas dan PN dalam isu tersebut kerana reputasi Menteri Besar dan Pas Perlis telah tercalar.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!