• Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
1 /

SHAH ALAM - Selepas membuat pengumuman terbuka mengisytiharkan Pengerusi PKR Negeri sebagai calon Parlimen Bagan Serai, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan memilih Perak sebagai salah satu negeri untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengumuman itu menimbulkan tanda tanya baru terutama dalam kalangan Pakatan Rakyat (PR) Perak, kerusi mana yang akan menjadi pilihan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Berdasarkan keputusan PRU lalu, PKR menang di tiga kerusi daripada 10 kawasan Parlimen yang ditandingi iaitu Bagan Serai (Muhsin Fadzil Samsuri), Sungai Siput (Dr D Jeyakumar) dan Gopeng (Lee Boon Chye).

Muhsin mengalahkan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Zainal Abidin Zin (Umno) dengan majoriti 3,413, namun beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk menjadi wakil rakyat Bebas.

Jeyakumar mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bertanding atas tiket PKR pula membuat kejutan dalam persaingan tiga penjuru apabila mewaskan penyandang tetap, Datuk Seri S Samy Vellu (MIC) dengan majoriti 1,821.

Sementara  Boon Chye dengan majoriti 7,368 mengenepikan calon MCA, Ling Hee Leong.

Selepas mengumumkan sendiri calon Bagan Serai, Anwar dilihat agak mustahil untuk bertanding di kerusi berkenaan. Begitu juga dengan kerusi Sungai Siput dan Gopeng apabila penyandangnya dilihat selesa dan diterima baik oleh masyarakat di kawasan itu.

Tidak hanya bersandar kepada kerusi menang sahaja, tujuh lagi kuota PKR juga dilihat kemungkinan menjadi pilihan Anwar sebagai gelanggang tanding.

Meskipun tewas, namun kerusi Parlimen Padang Rengas, Tambun, Tapah, Pasir Salak, Lumut, Bagan Datoh dan Tanjung Malim dilihat punya potensi untuk dimenangi parti itu berikutan penyusutan jumlah majoriti yang ketara meskipun enam daripadanya ditanding menteri Kabinet.

Padang Rengas yang disandang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang sebelum ini menang dengan majoriti 4,772 berjaya mengekalkan kerusinya dengan 1,749.

Di Tambun, majoriti undi untuk Menteri kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkurang daripada 17,360 kepada 5,386.

Keadaan sama turut berlaku di Tapah apabila Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 3,020 berbanding PRU sebelumnya 9,586 undi.

Di Lumut, calon PKR, Suwardi Sapuan hanya kalah tipis dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha yang menang dengan majoriti 298 berbanding jumlah sebelumnya, 11,614.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula mendapat majoriti 2,692 berbanding 12,539 untuk mengekalkan kerusi di Bagan Datoh.

Di Tanjung Malim, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan pula menewaskan Mohamad Azman Marjohan dengan majoriti 5,422 berbading yang diperolehi penyandangnya, Datuk Loke Yuen Yow 14,536.

Situasi sama turut berlaku di Pasir Salak apabila Datuk Tajuddin Abd Rahman yang juga Pengerusi Felcra memperoleh 2,688 majoriti undi berbanding 8,547 undi pada PRU sebelumnya.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty menyifatkan kesediaan Anwar bertanding di Perak adalah hak beliau selaku Ketua Umum parti.

Beliau yakin, setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan ketelitian dan idea baru dalam mengatur strategi politik bagi menghadapi PRU.

Menurutnya, tiada apa yang perlu dipersoalkan kerana setiap calon boleh bertanding pada mana-mana kerusi selagi ia mematuhi hak demokrasi berparlimen.

“PKR Negeri sentiasa mengalu-alukan mana-mana pemimpin tertinggi parti untuk bertanding mewakili PKR di negeri ini,” katanya.

Mengenai sasaran PRU kali ini, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, PKR mahu mengekalkan tiga kerusi Parlimen dimenangi PRU 2008 selain menambah kemenangan di empat kerusi Parlimen lain.

Dalam pada itu, seorang pemimpin kanan peringkat pusat PKR memberitahu Sinar Harian Online bahawa Anwar kemungkinan akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di bahagian selatan Perak ataupun utara Selangor.

"Selatan Perak atau utara Selangor pilihan Anwar jika beliau mahu keluar dari Permatang Pauh... saya pun terkejut apabila Anwar kata sedang timbang untuk tanding di Perak atau Selangor," kata beliau yang enggan namanya dipetik.

Katanya, antara kerusi yang boleh dipilih Anwar ialah Lumut, Bagan Datoh, Telok Intan atau Tanjong Malim.

"Ataupun Hulu Selangor di Selangor... Sabak Bernam sudah diumumkan akan ditanding Dr Abdul Aziz Bari," katanya lagi.

Katanya, apapun Anwar kemungkinan akan kekal bertanding di Permatang Pauh.

Calon PKR memenangi kerusi Hulu Selangor pada PRU13 tetapi parti itu kehilangan kerusi tersebut kepada BN ketika pilihan raya kecil tahun 2010.