PETALING JAYA – [DIKEMASKINI] Terungkai sudah teka-teki seluruh rakyat Malaysia apabila hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen P132, Port Dickson.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan kelak.

"Saya kini mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia dengan serta-merta. Saya telah pun menghantar surat peletakan jawatan sebagai ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat tengah hari tadi.

"Saya yakin bahawa Anwar Ibrahim akan memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah dan seterusnya menjadi Ahli Parlimen Port Dickson dan Insya-ALLAH, akhirnya menjadi Perdana Menteri ke lapan.

"Saya dengan sepenuh hati ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong dan pengundi saya yang telah memberi kepercayaan memilih saya sebagai ahli Parlimen pada PRU14 lalu dan sokongan berterusan sepanjang saya menjadi ahli Parlimen mereka.

"Saya amat berharap agar pengundi di Port Dickson akan memberi sokongan yang sama atau lebih kepada ahli Parlimen akan datang dan 'Prime Minister-In-Waiting,' Anwar Ibrahim," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Pengumuman dan pelepasan jawatan Danyal ini telah memadam variasi teori dan kemungkinan kerusi potensi yang bakal direbut Anwar bermula andaian dari utara, tengah atau selatan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Satu kerusi parlimen untuk Anwar minggu depan]

Antara kerusi-kerusi Parlimen yang menjadi topik bualan hangat sebelum ini ialah Sungai Petani, Nibong Tebal, Pandan, Selayang, Batu, Lembah Pantai dan juga Port Dickson.

Danyal yang juga pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama hampir 40 tahun berkata, telah memilih untuk mengambil bahagian dalam perjuangan untuk mengubah kerajaan kleptokratik yang lalu setelah menyaksikan kekejaman dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat.

"Memandangkan saya berasal dari kampung dan memiliki sifat ketenteraan yang telah sebati dalam jiwa, bukan mudah untuk saya menyesuaikan diri dengan peranan sebagai seorang ahli politik.

"Sebagai seorang ahli Parlimen dan warganegara Malaysia yang tercinta,saya percaya kepada peralihan kepimpinan yang aman dan menegakkan janji kerajaan PH kepada rakyat," katanya.

Beliau menambah Anwar selaku 'perdana menteri menunggu' telah memainkan peranan utama dalam pergerakan reformasi yang telah mengubah landskap politik negara selepas berjuang dan berkorban selama 20 tahun.

"Saya percaya, jangka masa pemenjaraan beliau yang boleh disamakan dengan The Great Mandela telah membentuk pemimpin yang hebat untuk memastikan Malaysia kekal sebagai masyarakat majmuk, menjaga golongan minoriti terutamanya golongan miskin.

"Lewat malam semalam, saya telah diberitahu oleh Rafizi Ramli bahawa selepas berbincang dengan kepimpinan PKR, Anwar telah bersetuju menerima tawaran saya dan memilih Port Dickson sebagai kawasan yang akan ditandingi.

"Hal demikian, saya di sini ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Anwar dan perjalanan 6P beliau iaitu "from prison to palace" to "palace to party President" to "PD to Parliament" and  seterusnya menjadi Perdana Menteri ke lapan," katanya.