SHAH ALAM - Gejala politik wang dan sikap mementingkan kemewahan dalam Umno adalah perkara biasa dan sukar  dihentikan, dakwa bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, ini kerana sikap demikian sudah merebak bermula daripada pemimpin Umno hingga ke peringkat bawahan.

“Penggunaan politik wang bermula dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno. Kemudian, ia turun ke bawah hingga ke pemilihan peringkat Bahagian, malahan di peringkat Cawangan.

“Apabila ramai pimpinan Umno memperagakan gaya hidup mewah, ia mempengaruhi hingga ke peringkat bawah termasuk dalam kalangan Pemuda. Ia telah menjadi budaya dan norma yang diterima sebagai kebiasaan, bukannya kesalahan dalam Umno,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) kelmarin bahawa ramai pemimpin sekarang lebih mementingkan wang dan kuasa.

Saifuddin yang kini Ketua Sekretariat Pakatan Harapan berkata, apa yang dinyatakan oleh Tengku Razaleigh sememangnya berlaku dalam Umno

“Politik wang berlaku dalam pelbagai bentuk, contohnya, pemberian kontrak kerajaan kepada ahli dan pimpinan Umno, penggunaan sumber kerajaan dalam menggaji aktivis-aktivis Umno dan semasa kempen pilihan raya.  Paling teruk ialah membeli undi, sama ada semasa pemilihan parti dan juga semasa kempen pilihan raya.

“Sebab itu, ramai ahli Umno menggunakan wang untuk mendapatkan jawatan, atau mendapatkan jawatan untuk mengejar wang. Dulu, Umno berjuang tetapi kini Umno berwang,” dakwanya.

Katanya, lebih malang apabila kebanyakan pimpinan utama Umno tidak serius untuk membanteras gejala ini.

“Malah, pimpinan tertinggi Umno juga tidak anggap ia satu kesalahan. Jika  terima derma dalam akaun peribadi sebagai satu kesalahan, sudah tentu beliau telah letak jawatan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • RANTAU PANJANG - Umno Rantau Panjang menggambarkan penerimaan penduduk terhadap Barisan Nasional semakin meningkat.
  • KOTA BHARU - Kenyataan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengenai penarikan balik darjah kebesaran kepada Husam Musa, Wan Rahim Wan Abdullah dan Tun Mahathir Mohamad hanya memperlihatkan sikap pembangkang yang egois.
  • PEKAN - Umno Pekan optimis mampu mampu meraih majoriti 40,000 undi untuk PRU14 sekaligus mengekalkan Parlimen Pekan sebagai kubu parti berusia 72 tahun itu.
  • MELAKA - Umno dan BN mempunyai rekod baik dan konsisten dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama atau bangsa, kata Pengerusi Biro Kebajikan Umno, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
  • SHAH ALAM - "Pas tidak perlu menunggu sehingga selepas PRU14 untuk jadi kuasa penentu apabila pilihan hati sudah dizahirkan dalam menentukan siapa bakal menteri besar Selangor selepas PRU14," sindir Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.