GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang akan menubuhkan 26 pasukan risikan khas bagi  memantau dan mengesan kegiatan bookie semasa musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.
    
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata polis turut meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan maklumat untuk mengesan individu dan juga sindiket perjudian yang beroperasi semasa PRU13.
    
Individu terbabit kegiatan pertaruhan boleh didakwa mengikut Seksyen 63 Akta Pertaruhan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, katanya.
    
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menyambut kepulangan anggota polis yang bertugas dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah  sejak sebulan lepas, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abd Rahim Hanafi.
    
Di majlis itu, turut diumumkan pemberian sagu hati sebanyak RM1,000 kepada anggota polis dan marin yang tertugas di Lahad Datu daripada Tabung Ketua Polis Pulau Pinang. - Bernama