KUALA LUMPUR – DAP tetap dengan pendirian mahu Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, kata Timbalan Pengerusi partinya Gobind Singh Deo.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, pemansuhan Akta Hasutan adalah sebahagian daripada menifesto Pakatan Harapan pada PRU 14.

“Akta Hasutan itu mudah terdedah dan senang disalahguna. Ia digunakan sebagai senjata politik untuk menyekat ahli politik di Malaysia.

“Kami secara konsisten meminta agar ia dimansuhkan dan pendirian itu kekal,” katanya dalam hantaran Facebook dan Twitter beliau hari ini.

Dalam pada beliau bersetuju agar tindakan perlu diambil ke atas bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar atas apa yang dianggap sebagai dakwaan yang keterlaluan dan tidak berasas yang dilontarkan terhadap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Gobind Singh berkata pembetulan tidak perlu dibuat  bagi Akta Hasutan untuk tujuan itu.

Kenyataan Timbalan Pengerusi DAP itu dikeluarkan berikutan kritikan terhadap DAP, yang secara tidak konsisten dalam menggesa agar siasatan hasutan diambil terhadap bekas KPN.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor,  MP Ramkarpal Singh, yang juga pengerusi biro undang-undang  kebangsaan DAP dan memangku peguam undang-undang kepada Lim, meminta polis agar menyiasat Hanif di bawah Akta Hasutan 1948. - Bernama