PETALING JAYA - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR 2018 memutuskan pengundian semula akan diadakan di Cabang Keningau, Pensiangan dan Tawau pada hujung minggu ini.

Setiausaha PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu turut dipersetujui Biro Politik yang membincangkan perkara itu dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Biro Politik Keadilan, pada mesyuarat bertarikh 7 November 2018 telah diberikan laporan oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) tentang beberapa kecacatan dan pelanggaran proses pengundian yang berlaku di Cabang Keningau, Pensiangan dan Tawau.

“Pada akhir laporan tersebut, JPP telah mencadangkan untuk pengundian semula dijalankan di Cabang-Cabang tersebut. Biro Politik telah membincangkan laporan tersebut.

“Mereka telah bersetuju secara sebulat suara dengan syor dan/atau cadangan pihak JPP bahawa pengundian semula hendaklah diadakan di Cabang-Cabang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemilihan di tiga cabang tersebut pada minggu lepas ditangguhkan disebabkan beberapa perkara berbangkit termasuklah capaian internet lemah dan atas faktor keselamatan.

Pengundian semua bagi Cabang Keningau akan diadakan pada 10 November ini manakala Cabang Pensiangan dan Tawau pada 11 November nanti.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pemilihan PKR: Proses pemilihan semula tiga cabang di Sabah ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pemilihan Cabang PKR Keningau kecoh ]

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menyifatkan perhatian berlebihan terhadap kes keahlian melibatkan Cabang Julau adalah kerana sentimen keterlaluan bagi mempertahankan kelompok masing-masing.

“Sedangkan kesemua proses pengurusan yang melibatkan proses pengundian di Cabang-Cabang dan pendaftaran keanggotaan baharu parti ini telah dilakukan secara telus, terbuka dan bertanggungjawab

“Ia mengikut keputusan dan garis panduan yang telah dipersetujui dan ditetapkansama ada melalui MPP mahupun Biro Politik parti,” ujarnya.

Menurutnya, mengikut rekod Ibu Pejabat Keadilan, penerimaan permohonan keanggotaan baharu yang tidak secara atas talian setakat 26 Jun 2018adalah berjumlah 22,673 dari seluruh negara.

Sementara itu, permohonan Cabang Julau pula telah diterima kira-kira jam 2 petang pada 12 Jun 2018.

“Kesemua permohonan keanggotaan baharu yang secara manual ini telah diproses oleh Ibu Pejabat Keadilan pada 27 Jun 2018.

“Ia seterusnya telah diperakukan dan didaftarkan sebagaimana pekeliling Setiausaha Agung kepada anggota-anggota Biro Politik bertarikh 27 Jun 2018,” jelasnya.