BERIKUTAN perjanjian kerjasama yang ditandatangani antara Pakatan Harapan dan Bersatu baru-baru ini, menyebabkan kedudukan Pas Selangor yang menjadi salah satu parti dalam kerajaan Selangor kini semakin serba salah dan tertekan.

Melalui perjanjian itu, Pakatan Harapan dan Bersatu bersetuju meletakkan seorang calon pembangkang sahaja untuk menentang BN, dan kedua-dua parti itu turut bersetuju berunding dengan parti (Pas) yang belum berada di dalam perjanjian ini.

Analisis berita oleh Oriental Daily meramalkan, sekiranya Pas Selangor terus menangguhkan masa untuk mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan dan Bersatu, ia sudah pasti merugikan pucuk pimpinan Pas Selangor, lebih-lebih lagi dari segi pembahagian kerusi pada PRU14.

Akhbar ini menulis, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad dipercayai selama ini menaruh harapan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, bagaimanapun hasratnya tidak mendapat restu pucuk pimpinan Pas pusat sehingga hari ini.

"Selain itu, keputusan yang masih tidak menentu Pas Selangor ini, akan diambil kesempatan oleh Amanah dan Bersatu. Kedua-dua parti ini akan mendapat sokongan undi daripada kalangan pengundi anti Umno. Apabila berlaku keadaan ini, Pas Selangor seharusnya menyalahkan diri sendiri," tulis akhbar ini.

Menurut akhbar ini lagi, sekiranya berlaku perlawanan tiga penjuru, ia tidak pernah memihak kepada parti pembangkang. Keputusan pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar, Jun lalu menjadi contoh paling jelas.

Pas akan menghadapi laluan sukar di kawasan Melayu, sekiranya berlaku pertembungan dengan calon Pakatan Harapan dan BN.

"Tidak dinafikan, Amanah dan Bersatu masih lemah di akar umbinya, namun kerjasama dijalankan kedua-dua parti ini tidak mustahil mampu menarik sokongan daripada segelintir penyokong Umno dan Pas, ditambahkan lagi pengaruh oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kemungkinan pembangkang mampu cipta kejutan di Selangor," kata akhbar ini.

Klinik pembedahan plastik tak berdaftar

Daripada suntikan botox hinggalah pembedahan plastik, hampir semuanya tidak mustahil untuk tampil cantik, asalkan mampu membayar dengan wang ringgit.

Bagaimanapun, awas kepada wanita yang inginkan kecantikan, mereka kemungkinan akan menjadi mangsa penipuan, malah nyawa mereka akan terancam sekiranya melakukan pembedahan plastik di klinik-klinik tidak berdaftar.

Tinjauan yang dibuat oleh Sin Chew Jit Poh mendapati, kini terdapat banyak klinik pembedahan plastik haram tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, terutama di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Malah, ada syarikat-syarikat yang dikatakan telah beroperasi selama beberapa tahun dan mampu membuka cawangan baharu di luar Kuala Lumpur.

Melihat fenomena kurang menyenangkan ini, akhbar ini mendapatkan komen daripada doktor-doktor pakar kecantikan yang memberi amaran sekiranya pembedahan yang dilakukan tidak secara profesional, pelanggan kemungkinan menghadapi maut ataupun risiko kecacatan penglihatan, dijangkiti kuman dan sebagainya.   

"Jangan terkejut, terdapat sesetengah doktor pakar mengenakan bayaran lebih murah dibandingkan dengan doktor di klinik yang tidak berdaftar," kata seorang doktor pakar kecantikan.  

Gagal atasi kejatuhan nilai ringgit

Kerajaan didakwa gagal mengatasi kejatuhan nilai mata wang ringgit, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani yang berkeyakinan Malaysia tidak perlu panik, sebaliknya mempunyai kekuatan untuk memulihkan kedudukan mata wang ringgit dalam pasaran dunia.  

"Tidak ada rakyat yang percaya dengan kenyataan Johari kerana ia tidak bawa apa-apa makna dan jaminan. Kenyataan 'jangan panik' mungkin akan bawa kesan sebaliknya kerana ia telah menonjolkan kegagalan kerajaan untuk menghalang nilai ringgit daripada terus menjunam," kata beliau dalam kenyataannya seperti dilaporkan dalam China Press.

Kelmarin, Johari dipetik sebagai berkata, Malaysia mempunyai ekosistem yang boleh membetulkannya, memastikan kestabilan politik kukuh dan yakin ringgit akan pulih.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.