KOTA BHARU - Pas kecewa dengan tindakan wakil rakyat Islam yang tidak menyokong pindaan terhadap Rang Undang-undang Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian), tidak diluluskan lagi di Dewan Rakyat, kelmarin.

Perbahasan mengenai pindaan Akta 164 itu menjadi semakin panas apabila wakil rakyat pembangkang tidak berpuas hati dengan pengguguran Fasal 88A, yang mana Pas turut mahukan undian dilakukan secara perseorangan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, menyedari kesan terhadap pindaan Akta 164, wakil rakyat Pas bersungguh-sungguh mahukan perkara tersebut ditangguhkan dan mencadangkan jawatankuasa ditubuhkan untuk membincangkannya terlebih dahulu.

“Tetapi kerajaan meneruskannya juga, sehinggalah ketika perbahasan pada bacaan kali kedua habis, dewan buat undian. Mengikut peraturan di Parlimen, untuk bersetuju, undian dibuat secara individu, ia mesti disokong 15 orang.

"Kami wakil rakyat Pas hanya ada 13 orang. Dua lagi kami perlukan, tetapi wakil rakyat Amanah, PKR beragama Islam tidak bangun. Dua wakil rakyat Islam dalam DAP pun tidak bangun. Umno pun sama tidak sokong kita,” katanya dalam Ceramah Isu-isu Semasa di Pengkalan Chepa, di sini.

Kelmarin, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Rang undang-undang bagi meminda Akta 164 itu diluluskan jam 12.45 tengah malam selepas dibahaskan bermula jam 8.30 malam.

Pindaan dalam rang undang-undang itu bertujuan memberi ruang bagi salah seorang daripada pasangan memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil, sekiranya suami atau isteri memeluk agama Islam.

Manakala Fasal 88A adalah merujuk peruntukan berhubung kedudukan agama anak bagi pasangan suami isteri sekiranya salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam.

Takiyuddin berkata, beliau juga sangat sedih apabila wakil rakyat yang sebelum ini menjadi rakan bersama dalam politik tidak menyokong kesungguhan Pas, malah Amanah secara terang-terangan menyokong pindaan Akta 164 itu.

“Inilah kedudukan yang sangat jelas. Siapa yang mempertahankan Islam? Hanya Pas yang mahukan Islam. Betapa susahnya kita nak memartabatkan mahkamah syariah melalui RUU 355, ditambah pula dengan tindakan kerajaan menghakis sikit demi sikit kuasa yang ada pada mahkamah syariah.

“Kita bukan mahu menganiaya orang bukan Islam, tetapi jelas undang-undang ini juga menganiaya orang Islam. Sebab itu kita bersungguh minta ditangguhkan.

"Lagipun ia bercanggah dengan Perlembagaan, enakmen keluarga Islam, dan keputusan kes di mahkamah persekutuan,” katanya.

Sambil menyifatkan pindaan itu sebagai menghukum dan menganiaya orang bukan Islam yang memilih untuk menjadi Muslim, Takiyuddin juga mahukan usaha memartabatkan agama syumul itu tidak menjadi perjuangan Pas sendirian sahaja.

“Ia harus menjadi perjuangan seluruh umat Islam kalau tidak mahu melihat Malaysia menjadi seperti negara Islam lain. Hanya Islam pada negaranya tetapi peraturan dan undang-undangnya tidak sebegitu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.