SHAH ALAM - Pas bukan pencetus pecah-belah sebaliknya membawa politik Islam dengan agenda perpaduan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Timbalan Ketua Penerangan Pas Pusat, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Dr Mahathir bebas berkata apa-apa sahaja tetapi hakikatnya kehadiran Pas dalam persada politik sejak 60 tahun lalu dengan membawa politik Islam sebenarnya membawa kepada perpaduan ummah dan nasional.  Katanya, Pas tidak pernah membawa agenda atau cita-cita peribadi mana-mana pihak.

“Pas satu-satunya parti yang paling banyak menjalin kerjasama demi perpaduan.

“Ini terbukti di mana Pas bersama dalam BN semasa ia ditubuhkan, bersama Semangat 46 sehingga berkuasa di Kelantan, bersama Pakatan Rakyat (PR) sehingga berkuasa di Selangor dan kini berkerjasama dengan Umno, MIC dan parti-parti lain juga atas nama perpaduan dan kesatuan,” katanya kepada Sinar Harian menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan perpecahan dalam kalangan orang Melayu hari ini adalah disebabkan oleh politik yang dibawa Pas.

Terdahulu, Dr Mahathir menerusi blognya, Chedet.cc mendakwa orang Melayu sebelum ini tidak berpecah kerana agama dan apabila wujudnya Pas, keadaan tersebut (perpecahan) berlaku dan ia tidak boleh dimaafkan.

Katanya, apabila Pas ditubuh orang Melayu terpisah kepada dua puak yang bermusuh ketat, sekaligus melemahkan orang Melayu sehingga Pas juga terpaksa meminta pertolongan orang-orang kafir.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi turut menafikan tuduhan Dr Mahathir yang menyalahkan Pas sebagai punca perpecahan Melayu.

Menurutnya, jika Dr Mahathir mengatakan ia (perpecahan) disebabkan parti politik, beliau sendiri perlu melihat semula ke belakang.

“Ketika zaman beliau bersama Umno/BN. Ketika itu, orang Melayu berpecah jadi Semangat 46, ini semua pemimpin-pemimpin dari kepimpinan parti politik Umno.

“Pas pula bawa mesej perpaduan dalam agama Islam,” katanya.