SHAH ALAM - Rakyat tidak akan "termakan" dengan modal kempen P:Pas menjelang Pilihan Raya Umum (PRU13), kononnya Pas sebuah parti politik sesat, yang sedang dibawa oleh Umno sekarang, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu beliau juga menegaskan bahawa kempen P:Pas yang sedang dibawa Umno bukan perkara baru, malah sudah kedengaran sejak dua dekad yang lalu.

"Ini bukan perkara baru. Sudah lebih 20 tahun Umno membawa dakwaan kononnya Pas sebuah parti sesat.

"Kalau selama 20 tahun orang ramai tidak termakan dengan dakwaan Umno, jadi saya pasti rakyat tidak akan terpengaruh dengan kempen ini," kata Tuan Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

"Apa yang didakwa oleh Umno Terengganu bukan perkara baru, ini perkara lama, kalau Pas parti sesat, sudah tentu Pas sudah disenaraikan oleh Jakim sebagai parti sesat.

"Pas sebuah pertubuhan berdaftar, parti yang sah, bukan parti sesat. Sudah 20 tahun Umno bawa isu ini, jadi, kalau benar kami sesat, sudah tentu Jakim sudah ambil tindakan... ini tidak berlaku, jadi saya anggap ini perkara sengaja dibawa oleh Umno," kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang.

Tuan Ibrahim juga berkata, Umno Terengganu cuba membawa isu ini untuk mengalih pandangan rakyat daripada masalah pokok yang sebenar, selain menutup kelemahan yang ada pada parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Mengikut laporan media semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, program P:Pas iaitu Pas: Parti Ajaran Sesat yang bermula di Terengganu kelmarin akan diteruskan ke seluruh negara.

Program P:Pas secara besar-besaran akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Program P:Pas tidak hanya setakat di Terengganu, tetapi kita akan bawa ke seluruh negara. Kita akan adakan perhimpunan besar-besaran di PWTC lepas ini," kata Ahmad.

Program itu berobjektif memberi penjelasan mengenai perjuangan Pas yang dirasakan boleh menjejaskan akidah umat Islam.

Sambil menegaskan Pas tidak bimbang dengan program sedemikian, Tuan Ibrahim menegaskan, dasar rakan komponen Pakatan Rakyat itu berlandaskan Islam dan al-Quran.

"Kami sebuah parti yang perjuangan bersandarkan pada ajaran Islam. Kami mengadakan dasar dan program bersandarkan Islam, yang mana ia berbeza berbanding Umno.

"Ini jelas dan boleh dilihat di Kelantan," katanya lagi.

"Pada saya, saya fikir Umno hendak mengalih pandangan rakyat. Misalnya, apabila program Pas Ganti Umno yang dilaksanakan di Terengganu mula berjaya, Umno sudah rasa bimbang dan kini memulakan kempen seperti ini," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pas memilih pendekatan tunggu selepas selesai PRU14 bagi menamakan calon menteri besar Selangor jika berjaya menang dan menjadi kerajaan di negeri itu.
  • SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan ditadbir berlandaskan model pentadbiran dan kepimpinan Islam jika Pas berjaya menawan negeri itu pada PRU14 nanti.
  • SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (Harapan) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi taklimat kepada calon perdana menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan keputusan-keputusan dasar luar negara.
  • SHAH ALAM - Segala spekulasi dan khabar angin terhadap Pas, dengan beberapa dakwaan bahawa parti itu akan bertanding kurang daripada 100 kerusi Parlimen kini telah ditepis, apabila parti berkenaan mengesahkan bahawa mereka mungkin bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum akan datang.
  • SHAH ALAM - Pas menyindir Pakatan Harapan (Harapan) kerana tindakan memilih Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menterinya jika memenangi PRU14 yang akan datang.