SHAH ALAM - Pas mengkritik dakwaan Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai sokongan terhadap kepimpinan Pas semakin berkurangan berdasarkan pungutan suara.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, kenyataan Nik Nazmi terlalu dangkal dan tidak matang, kerana hanya mengukur trend sokongan tersebut berdasarkan pungutan suara daripada sampel rawak atau kelompok terhad.

“Saya nasihatkan Nik Nazmi beri perhatian kepada PKR dan ahlinya, berbanding sibuk membuat tanggapan serta dakwaan melulu daripada sumber picisan yang tidak menjejak realiti.

“Sewajarnya beliau bersandarkan pada data yang empirik, realiti, berkredibiliti dan berintegriti, antaranya mesyuarat agung atau muktamar Pas atau keputusan pilihan raya.

"Sekadar mengutip maklumat tepi jalan, lebih baik beliau audit PKR dan ahlinya sendiri, juga lebih banyak perhatian untuk beliau teliti trend sokongan terhadap kepimpinan PKR sejak dari Langkah Kajang dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, Nik Nazmi mendakwa, berdasarkan hasil pungutan suara tersebut, beliau tidak menolak kemungkinan ahli Pas akan menyokong calon Pakatan harapan berbanding calon parti berkenaan pada PRU14.

Khairil dalam pada itu, mengingatkan Nik Nazmi supaya melihat kelemahan dan cermin diri sendiri.

“Jangan kerana ingin meraih populariti politik, beliau  sanggup memilih memburukkan Pas.

"Pas telah membuktikan keterbukaan untuk akar umbi menyatakan pandangan dan teguran,” katanya.

Mengulas dakwaan berkaitan kekeliruan di peringkat akar umbi Pas mengenai pendirian Pas, beliau berkata, terbatalnya tahaluf siyasi bersama PKR adalah dalam konteks ikatan rasmi kerjasama parti.

“Tetapi hubungan berkaitan kepentingan rakyat dan rutin kehidupan adalah tanggungjawab yang tidak putus sama sekali.

“Jika Nik Nazmi keliru antara perbezaan ini, bermakna anda terlalu mentah dalam politik dan tidak komited terhadap amanah dipikul selaku ahli politik,” katanya.

Jelasnya, Pas bersedia dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menyelesaikan setiap isu dibangkitkan rakyat.

“Kami konsisten memperjuangkan hak rakyat dan negara secara adil serta sejahtera tanpa mengira latar belakang sokongan parti.

“Selaku ahli politik, sama ada pembangkang atau kerajaan, wajib untuk mengambil pendekatan menang-menang dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.   
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.