TELUK INTAN - Harapan hari ini mengesahkan spekulasi apabila mengumumkan Pengerusi DAP Perak,  Nga Kor Ming sebagai calon Parlimen Teluk Intan pada PRU14 ini.

Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sempena perlancaran jentera pilihan raya Parlimen itu di Pusat Komuniti DAP Teluk Intan.

Pada PRU13 lalu, Kor Ming menang di dua kerusi Perak yang ditandingi masing-masing Parlimen Taiping dan Dun Kepayang.

Guan Eng berkata, pemilihan Timbalan Setiausaha Agung DAP itu tepat atas usaha keras beliau dalam membawa perubahan politik baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

"Beliau bukanlah seorang Datuk, hanya pemimpin muda yang punya semangat dalam memperjuangkan hak rakyat dan rela berusaha keras untuk membawa perubahan," katanya.

Kor Ming mengakui bakal berdepan cabaran sengit dengan calon BN di kawasan itu nanti.

"Saya bukan sesiapa, tiada pangkat mahupun harta, namun saya percaya dengan kuasa yang ada pada rakyat," katanya.

Beliau berkata, harapan dibawa parti dengan meletakkannya sebagai calon juga adalah tinggi bagi mengembalikan semula kerusi itu kepada pembangkang.

Pada pilihan raya lalu, DAP memenangi kesemua tujuh kerusi Parlimen termasuk Teluk Intan dan 18 kerusi Dun yang ditandingi di Perak.

Bagaimanapun, kerusi terbabit jatuh kepada BN pada pilihan raya kecil selepas penyandangnya, Seah Leong Peng meninggal dunia pada Mei 2014.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud tewas dengan hanya 238 majoriti undi kepada calon BN yang juga Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Majlis malam ini turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng.