• Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
1 /

KUALA LUMPUR - Pas akan mengadakan Muktamar Tahunan Pas ke-58 mulai 16 hingga 18 November ini manakala muktamar dewan-dewan akan bermula 14 November.

Muktamar ini yang bertemakan Negara Berkebajikan Teras Perpaduan akan diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, muktamar kali ini merupakan muktamar terpenting memandangkan ia yang terakhir sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Memandangkan muktamar ini yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, maka ia merupakan muktamar terpenting yang akan menggerakkan seluruh parti bagi menghadapi pilihan raya umum," kata beliau dipetik Harakahdaily.

Menyentuh agenda-agenda penting yang akan dibincangkan pada muktamar kali ini, Mustafa berkata, ia akan memfokuskan kepada perbahasan ucapan dasar yang disampaikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, dalam ucapan dasar tersebut, Hadi akan mengupas pelbagai isu di dalamnya, khusus berkaitan persediaan menghadapi pilihan raya.

Pada malam 16 November itu juga, akan berlangsung Himpunan Kebangkitan Rakyat  peringkat Kelantan, katanya.