KUALA LUMPUR - Pertubuhan Himpunan Hijau 2.0 menegaskan mereka tetap dengan pendirian mahu mengadakan perhimpunan aman Ahad ini walaupun enggan dibenarkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

Pengerusinya, Wong Tack berkata, usaha itu sebagai tanda mencabar kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang membenarkan perhimpunan aman diadakan tanpa memerlukan permit.

"Kami mahu PM mengotakan janji bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob yang membenarkan perhimpunan ini dijalankan walaupun sudah dihalang sekeras-kerasnya oleh MPK.

"MPK tidak menyatakan secara terperinci kenapa perhimpunan Ahad ini ditolak sedangkan kami meminta berhimpun di padang seperti yang dikatakan oleh PM boleh berhimpun di padang, bukan di jalanan," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan MPK menghalang perhimpunan akan dipersoalkan oleh rakyat, yang akan bertanya kuasa siapa lebih besar,  Perdana Menteri ataupun Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob.

"Adakah MPK bertindak sendiri menghalang kami berhimpun ataupun didalangi oleh kuasa besar lain yang memang tidak mahu kami meneruskan hasrat kami bersama rakyat lain menyuarakan suara kami?

"Jika benar PM dan MB tidak boleh nak kotakan janji mereka membenarkan kami berhimpun, bagaimana rakyat mahu percaya kepimpinan mereka lagi, terutamanya dalam menjamin keselamatan tentang keburukan Lynas," katanya.

Sebelum ini, Najib mengeluarkan kenyataan memberikan kelulusan tersirat berhubung perhimpunan besar-besaran rakyat pada Ahad ini, membantah tindakan kerajaan membenarkan Lynas membina loji memproses nadir bumi di Gebeng.

Tambah Wong, himpunan itu tetap akan diadakan di padang dan jangan salahkan mereka jika terpaksa berarak di jalanan akibat dihalang MPK.

"Kami mahukan himpunan aman, saya boleh jamin Himpunan Hijau 2.0 adalah perhimpunan paling aman sekali, justeru janganlah halang kami," katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.