MB Selangor: Pakatan tunai 30 janji manifesto

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
A
A

SUBANG JAYA - Sebanyak 30 dari 36 manifesto Pakatan Rakyat (PR) pada 2008 berjaya dilaksanakan Kerajaan Negeri hasil usaha mereformasikan pentadbiran yang lebih telus dan bersih. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun masih ada janji yang belum dilaksanakan, namun Kerajaan Negeri telah berjaya membuat pelbagai program lain khusus untuk kebajikan rakyat. Menurutnya, selain janji penurunan cukai pintu, kesemua manifesto penting PR berjaya dilaksanakan Kerajaan Negeri. "Pemberian air percuma, bantuan kepada sekolah sudah dilaksanakan. Ada juga yang kita tidak boleh laksanakan kerana bergantung kepada persetujuan Kerajaan Pusat. "Namun, berdasarkan kajian yang kita jalankan, Negeri Selangor adalah antara pihak yang selalu menepati janji yang diberikan," katanya ketika menjawab pertanyaan hadirin dalam program ramah mesra bersama pengikut Facebook dan Twitter beliau di sini, semalam. Abdul Khalid turut menegaskan pemimpin PR perlu mengurangkan janji yang sukar dilaksanakan dan meningkatkan prestasi kerja untuk kebajikan rakyat. Menurutnya, manifesto penurunan cukai pintu sebanyak 20 peratus sebenarnya sukar dilakukan kerana ianya akan menjejaskan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT). "Semua orang tidak mahu membayar cukai pintu yang tinggi, tetapi jika cukai ini tidak dikutip, maka PBT tidak boleh beroperasi. "Namun, salah satu usaha yang saya lakukan adalah dengan mengurangkan kos operasi untuk merealisasikan perkara ini," katanya. Selain penurunan cukai pintu, Kerajaan Negeri masih lagi belum melaksanakan beberapa janji termasuk pemberian wang masuk tadika dan wang saku suri rumah. Namun, wujud program tambahan yang dilaksanakan jauh lebih memberi manfaat kepada rakyat seperti program pemerkasaan wanita berjumlah RM30 juta.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×