ALOR SETAR - Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang merupakan Adun Bebas selepas keluar Umno November lepas kini menyertai Bersatu, sekali gus menjadikan kerusi dipegang PH sebanyak 19 kerusi.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Ku Abd Rahman kini merupakan ahli Bersatu selepas pihaknya menerima borang keahlian Bersatu dari bekas exco kanan ketika pentadbiran BN itu.

Menurut beliau, Bersatu mengesahkan sememangnya ada menerima permohonan Adun Guar Chempedak terbabit untuk menyertai parti tersebut.

"Ya, kita ada terima borang keahlian yang disampaikan oleh Ku Abd Rahman untuk menyertai Bersatu pada minggu lepas.

"Sebenarnya, perbincangan sudah lama, tetapi borang terbabit baharu sahaja diisi dan diserahkan baru-baru ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Program Kembali ke Sekolah 2019 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya sudah menerima menerima permohonan beliau menjadi ahli selepas membuat penilitian dan penilaian.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Sidang Dun Kedah dikejutkan dengan pengumuman Speaker Dun Kedah, Datuk Ahmad Kasim bahawa kedudukan Adun Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Rahman berubah kepada tempat duduk bebas, bersebelahan dengan Adun kerajaan.

Ahmad berkata, Ku Abd Rahman telahpun menyerahkan surat mengenai keputusannya untuk menjadi Adun Bebas kepadanya.

Malah, Ku Abd Rahman mengumumkan keluar Umno dan meneruskan khidmat sebagai Adun Bebas yang menyokong kerajaan PH Kedah dalam sidang media di Wisma Darul Aman, di sini.

Ku Abd Rahman berkata, dia belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti bawah PH, namun memberi bayangan cenderung kepada Bersatu selepas tidak lagi menjadi ahli Umno.

Kedudukan terkini di Dun Kedah menyaksikan PH menguasai 19 daripada 36 jumlah keseluruhan kerusi Dun, diikuti Pas dengan 15 kerusi dan BN melalui Umno hanya tinggal dua kerusi Dun.