ALOR SETAR - Rakyat perlu menilai dengan bijak keupayaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin negara, memandangkan bekas perdana menteri itu kini telah berusia 92 tahun, kata Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata, keupayaan Dr Mahathir untuk memimpin negara tidak akan sama seperti ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun semasa berada dalam Umno.

“Jadi  terpulang kepada rakyat. Saya  yakin rakyat dapat menilai kemampuan dia kerana kita nak menuju ke negara yang lebih maju, yang lebih dinamik.

“Jadi kalau kita dah tau sejarah 22 tahun dia menjadi Perdana Menteri  dan hari ini dah keluar pelbagai agenda yang tersembunyi selama 22 tahun yang sudah diketahui rakyat, maka rakyat kena menilai semula,” katanya kepada pemberita pada Program Penutup Siri jelajah IMAN 2.0  dan Program Turun Padang di Kampung Darat di sini hari ini.

Pada Ahad lepas Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu memenangi PRU14, manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Ahmad Bashah juga yakin Dr Mahathir sekiranya dilantik sebagai perdana menteri beliau lebih mementingkan agenda parti yang ditunjangi anaknya Datuk Seri Mukhriz lebih daripada kepentingan rakyat.

“Sekarang ini kita lihat Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak disebut nama dan disisihkan demi agenda politik beliau...mana Muhyiddin sedangkan dia Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dulu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah itu berkata Umno dan Barisan Nasional sudah bersedia dalam segala persiapan untuk berdepan dengan Harapan pada PRU14 yang dilihat bersungguh-sungguh untuk mengambil alih kerajaan.

“Tiap kali berdepan pilihan raya, mereka bersungguh-sungguh tetapi rakyat tetap menolak...namun BN juga tidak boleh leka dan juga perlu bersungguh-sungguh untuk memperkemaskan jentera parti bagi memastikan jentera kita mantap.

“Itu bukan bermakna kita takut kepada pakatan tetapi ia perlu dilakukan dalam nak berdepan PRU yang akan membabitkan seramai 1.2 juta pengundi di Kedah,” katanya. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Keyakinan tinggi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa kerusi parlimen Gombak kekal disandang Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14 nanti menyebabkan beliau sudi mengundur diri dan memberi kerusi kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • CHERAS - Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa selepas gagal menziarahi Ketua Umum Pakatan Harapan (Harapan), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini, sebentar tadi.
  • MARANG - “Dia sudah tua, biarlah dia insaf sendiri, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap serangan peribadi Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap dirinya.
  • KOTA BHARU - Umno Kelantan mendedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) di antara punca kekalahan Umno negeri kepada pembangkang sebelum ini, selain menyifatkan pemimpin itu sangat berdosa dengan Umno negeri.