KUALA TERENGGANU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu semua pihak menghormati dan tidak mencabar hak umat Islam di negara ini seperti tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 olehnya di Dewan Rakyat semalam hanya tertakluk kepada umat Islam di negara ini dan tidak melibatkan penganut agama lain.

Malah katanya, usul berkenaan telah mendapat persetujuan antara Pas, Umno serta sokongan badan-badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman negara.

"Dalam perlembagaan sudah tertakluk bahawa umat Islam dan mereka bukan beragama Ialam di negara ini bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.

"Tapi malangnya ia (usul) mendapat tentangan daripada beberapa pihak yang mempunyai kepentingan politik dan kita tahu mereka ini tidak mewakili masyarakat bukan Islam di negara ini... kita harap isu ini tidak berlarutan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.     

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian beberapa parti komponen BN yang membantah pembentangan RUU 355 di Dewan Rakyat.

Ketika diminta mengulas permohonannya untuk membuat huraian berhubung cadangan pindaan itu pada persidangan dewan akan datang, Abdul Hadi berkata beliau berbuat demikian bagi memastikan semua pihak jelas mengenai RUU itu.

Anggota Parlimen Marang itu berkata RUU itu perlu dihuraikan dengan lebih teliti pada semua pihak supaya tidak timbul kekeliruan dan polemik dalam kalangan pelbagai pihak.

"Tidak betul jika ada pihak mendakwa saya sengaja melengahkan pembentangan usul itu. Saya mahu beri peluang dan ruang untuk penambahbaikan dan semua pihak memahami usul itu dengan cara yang betul, kita tak nak gopoh-gopoh.

"Pihak yang mendakwa saya sengaja melengahkan... mereka ini hanya utamakan kepentingan politik daripada kepentingan agama," tegasnya. - Bernama