• Datuk Husam Musa Datuk Husam Musa
1 /

KOTA BHARU - Tujuh projek besar diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin tidak lebih dari meniru program yang dirancang dan dilaksana oleh Kerajaan Negeri Kelantan, kata Datuk Husam Musa.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan  ini berkata, Kerajaan Pusat sepatutnya merealisasikan projek-projek yang diumumkan itu sejak dahulu lagi dan bukannya meletakkan syarat ia akan dilaksanakan untuk penduduk Kelantan sekiranya Barisan Nasional (BN) merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, rakyat Kelantan layak menerima lebih daripada apa yang diumumkan kerana janji-janji itu adalah sebahagian daripada perkara yang pernah disebut pada PRU12 lima tahun lalu.

“Kenapa perkara itu tidak dilaksanakan dahulu lagi dan akan dilakukan jika BN menangi, rakyat sendiri boleh menilainya apa yang dinyatakan ketika lawatannya itu adalah meniru apa dilakukan di Kelantan.

“Kita sudah memberitahu kepada rakyat di negeri ini sudah lama, kerajaan negeri mahu membina stadium baru dan wujudkan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, tetapi Najib baru umumkan sebagai manifesto,” katanya kepada pemberita hari ini.

Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, sewajarnya rakyat Kelantan tidak boleh diberikan hak yang lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sejak dulu lagi.

“Sebagi contoh, Najib sebenarnya lebih wajar membina lebuh raya tersebut dulu lagi kerana Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu (KB) itu telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) dan diluluskan semua dalam RMK9,” katanya.

Beliau mencadangkan Perdana Menteri supaya memberi tumpuan kepada projek lain seperti pembinaan benteng di Sungai Golok dan pemberian status lapangan terbang antarabangsa untuk Kelantan.

Perdana Menteri dalam lawatannya kelmarin mengumumkan tujuh projek besar, yang bakal dilaksanakan bagi memajukan Kelantan jika mendapat mandat pada PRU13 akan datang.

Projek terbabit merangkumi pembinaan Lebih Raya Kuala Krai-KB, pembinaan stadium baru, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan membabitkan 3,000 unit.

Projek lain, adalah mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara dan menjanjikan untuk menyelesaikan masalah air.

Husam juga kecewa kerana Najib tidak mengumumkan sama ada tuntutan royalti minyak tidak diumumkan dibayar secara tanpa penangguhan dan hanya memaklumkan jawatankuasa khas sudah ditubuhkan.