Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan baharu Pakatan Harapan berhak untuk menangguhkan  perbahasan bagi Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU355 yang tergantung ekoran  pembubaran Parlimen lalu bagi memberi laluan kepada PRU14.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebelum ini usul berkenaan dibawa Pas ke Parlimen secara konsisten untuk memperkasakan bidang mahkamah syariah di negara ini.

Menurutnya, Pas merasakan ada keperluan untuk membetulkan hukuman yang dilaksanakan di mahkamah berkenaan memandangkan terdapat perkara tidak menepati kehendak syariah.

“RUU355 ini membetulkan apa yang tidak betul. Bukan pelaksanaan hudud. Kalau kerajaan yang baharu ini nak tangguh itu hal dia. Tapi sampai bila kita nak berjalan dalam keadaan tidak betul.

“Contohnya dalam undang-undang, dalam kes minum arak, ada nas dan dalilnya, yang berjalan sekarang ini adalah enam  sebatan, jadi ia tidak menepati kehendak syarak, tiada hadis dan nas pun yang suruh demikian. Ini yang perlu diperbetulkan,” katanya kepada media, hari ini.

Sehubungan itu Tuan Ibrahim berkata, kerajaan di bawah Tun Mahathir Mohamad sekarang ini perlu melihat perkara tersebut.

Tuan Ibrahim juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berharap agar usaha dilakukan Pas itu dapat diteruskan kepada perbahasan dan seterusnya proses undian di Parlimen.

“Kita serah kepada kerajaan baharu dan mengharapkan semua wakil rakyat kita akan sokonglah nanti,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×