SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya mengajak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan hudud di negara ini.

Beliau berkata, perbincangan  perlu diadakan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam melaksanakan hukum itu kerana rakyat negara ini terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum.

Katanya, pelaksanaan hudud juga perlu melakukan perbahasan, perbincangan, yang perlu dihadiri oleh golongan profesional, ahli agama, diketuai Raja-raja Melayu, penguat kuasa, pentadbiran, badan kehakiman, wakil-wakil politik dan sebagainya.

“Kalau mahu ia dilaksanakan, kita duduk berbincang bersama-sama. Saya mempelawa Nik Aziz dan Pas bincang bersama-sama mengenai masalah pelaksanaan hukum tersebut.

“Banyak masalah dihadapi untuk melaksanakan hukum itu, antaranya ialah Pas hanya meletakkan masalah pelaksanaan hukum hudud di negara ini kepada Umno, Umno sendiri melihat ada halangan untuk melaksanakannya kerana masyarakat majmuk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Nik Aziz agar Umno membentangkan hudud versi parti itu yang dikatakan adil.

Fathul Bari berkata, banyak pemimpin pembangkang, malah beberapa pemimpin Pas juga menyatakan tidak sesuai hukum hudud dilaksanakan sekarang kerana banyak halangan dan keadaan belum sesuai.

Fathul Bari berkata, hudud tidak boleh mempunyai versi kerana untuk laksanakan hukum hudud perlu berdasarkan hukum Islam yang sebenar.

“Saya menyangkal kenyataan beliau untuk membentangkan hudud versi Umno, saya tidak setuju. Sekiranya hukum hudud mempunyai versi Umno atau Pas bermakna hukum itu dilaksanakan berdasarkan parti politik,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Jangan terlalu mendabik dada dan menganggap mereka lebih kuat daripada orang lain, demikian respons Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung Pas sudah tidak lagi relevan untuk menghadapi PRU14 serta sebagai parti politik di negara ini.
  • SHAH ALAM - Pas tidak pernah lari daripada dasar dan prinsip perjuangan Islamnya sejak ditubuh lebih 60 tahun yang lalu.