Gencatan serangan: Pas Selangor sokong Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A

SHAH ALAM - Kesemua wakil rakyat Pas di negeri ini menyokong kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abd Samad agar parti pembangkang menumpukan usaha menumbangkan BN bukannya bertelagah sesama sendiri.

Melalui satu kenyataan bersama, 13 wakil rakyat meliputi Adun dan Ahli Parlimen Selangor berkata, pihaknya berpendirian agar pendekatan atas nama ‘Pakatan Pembangkang’ dicari untuk mempertahankan kemenangan di negeri ini yang telah dicapai semenjak 2008.

“Parti parti politik pro blok pembangkang berhenti menyerang antara satu sama lain dan menghalakan serangan terhadap Umno dan BN Selangor.

“Mencari pendekatan terbaik untuk satu lawan satu menentang BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Genjatan serangan bukan pendirian Pas]

Sebelum ini, Tuan Ibrahim mendapat perhatian semua parti politik pembangkang selepas mengeluarkan kenyataan mengajak parti pembangkang melaksanakan genjatan serangan dan menumpukan serangan kepada Umno-BN sahaja. Kenyataan itu kemudiannya disokong Iskandar.

Kesemua Adun dan ahli Parlimen Selangor itu juga berpendirian untuk menumpukan pembelaan kebajikan rakyat dan pembangunan di Selangor selain mencari titik persamaan yang terbaik berdasarkan demografi di negeri itu dengan syarat menghormati prinsip yang dibawa oleh setiap parti yang berbeza.

Melalui kenyataan sama, kesemua Adun dan ahli Parlimen Selangor akan menyerahkan surat yang ditandatangani mereka kepada pimpinan pusat.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×