Fauzi: Chean Chung layak dicalonkan di Indera Mahkota

Datuk Fauzi Abdul Rahman.
A
A

KUANTAN – “Saya sendiri mencalonkan Lee Chean Chung kerana percaya dia layak untuk bertanding di Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-13,” kata Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman. Beliau berkata, sebagai Pemangku Ketua PKR Cabang Indera Mahkota, Chean Chung bekerja keras dan sesuai dengan kehendak pemimpin parti yang mahu mereka menjalankan tugas dengan baik. Bagaimanapun katanya, pucuk pimpinan akan berbincang mengenai pencalonan itu dan memantau prestasi setiap calon. “Saya bukan penilai prestasi, tetapi menyenaraikan calon berdasarkan kehendak pucuk pimpinan termasuk keperibadian dan akhlaknya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik sumber Chean Chung disebut bakal menggantikan Ahli Parlimen Kuantan, Azan Ismail. Menurutnya, selain Chean Chung, PKR Pahang turut mencalonkan tujuh hingga lapan calon muda dan wanita dikatakan mampu bekerja untuk parti.

“Kita mencalonkan lebih ramai wanita selepas melihat prestasi Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang cemerlang dalam tugasnya,” katanya. Bercakap mengenai desas-desus penolakan Azan untuk bertanding pada PRU13, Fauzi berkata, tiada sebab Azan boleh digugurkan atau tidak bertanding, malah Ahli Parlimen itu boleh memilih untuk bertanding di Terengganu atau Pahang berdasarkan jawatannya. Sementara itu, Lee Chean Chung berkata, tugasnya kini hanya menjaga kepentingan parti di Indera Mahkota dan bukan bertujuan menjadi calon pada pilihan raya akan datang. Beliau menafikan laporan sumber mengatakan beliau bakal bertanding menggantikan Azan Ismail di Parlimen Indera Mahkota pada PRU13 nanti.

Chean Chung mengakui belum menerima sebarang arahan atau dipanggil berbincang mengenai perkara itu, malah akan terus berpegang pada sistem pemilihan calon PKR yang profesional. Beliau juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai persediaannya jika dipilih sebagai calon di Parlimen Indera Mahkota.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

×