PENGKALAN CHEPA – “Saya anggap Tok Guru (Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sebagai Mahatma Gandhi kerana cara berpakaian dan ketokohan beliau.

“Sesiapa tanya saya kenapa masuk Pas, saya jawab kerana Tok Guru Nik Aziz,” kata perwakilan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHHP), K Deepakaran semasa membahaskan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini sambil disambut dengan laungan takbir oleh para perwakilan.

Deepakaran berkata, DHPP perlu dianggap sebagai tentera pejuang Islam kerana Islam adalah untuk semua selari dengan slogan ‘Pas For All’ yang dicanang sebelum ini.

“DHPP ikhlas sukarela beri sokongan kepada Pas dan kita adalah tentera pejuang Islam.

“Islam hadir untuk semua dan kita gunakan di mana-mana logo ‘Pas For All’ itu,” katanya.

Deepakaran berkata, beliau berbangga kerana DHPP adalah antara sayap penting dalam parti.

Katanya, DHPP kini dilihat sebagai antara aset penting parti kerana ia menampilkan kaum bukan Melayu.

“DHPP adalah untuk merapatkan hubungan antara kaum lain dan dengan kewujudannya memudahkan kita untuk berjumpa bukan Islam untuk menerangkan mengapa perlu sokong Pas.

“DHPP adalah aset Pas. Kita datang sini nak bantu, maka tolong, jangan anggap kita sebagai ancaman,” katanya.