SHAH ALAM – Dana RM40 juta yang diberikan kepada Umno Sabah oleh penyumbang yang ingin dirahsiakan namanya adalah bagi kegunaan perancangan program parti dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, sumbangan yang diberikan itu adalah dari penyumbang yang  percaya kepada dasar-dasar kepimpinan parti supaya dana itu boleh disalurkan untuk aktiviti parti dan perancangan program masa depan.

“Kenapa tidak untuk PRU13 akan datang, tidak salah kalau mahu memberi sumbangan kepada parti politik. Pembangkang juga turut menerima dana untuk parti mereka.

“Pada saya untuk aktiviti parti, seluruh parti mendapat bantuan dan duit tersebut akan digunakan kepada aktiviti parti,”  katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Belud kepada Sinar Harian.

Abdul Rahman enggan mengulas siapakah penyumbang dana tersebut, tetapi  beliau berkata, kesemua parti politik di negara ini menerima sumbangan daripada individu yang sayang serta yakin kepada dasar-dasar sesebuah parti.

“Jika saya orang kaya, saya akan beri derma.  Tidak ada undang-undang yang menyatakan tidak boleh beri derma. Tetapi, kadang-kadang penyumbang itu ingin namanya dirahsiakan.

“Setiap dana yang telah diterima mesti masuk melalui cara yang betul secara telus berserta resit dan beritahu bahawa dana itu untuk kepimpinan parti,” katanya.

Beliau berkata, bukan sahaja Umno mendapat sumbangan tetapi parti-parti lain di Malaysia juga mendapat dana untuk pembangunan parti mereka.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata wang tersebut adalah amalan biasa bagi sebuah parti politik selagi sumbangan tersebut mengikut prosedur yang betul.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - DAP diingatkan supaya mengimbas kembali sejarah negara dalam peristiwa berdarah 13 Mei 1969 sebelum mempertahankan tindakannya melaksanakan pilihan...
  • SHAH ALAM - Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa tidak mendengar isu masyarakat India.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.