GEORGETOWN - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow perlu mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaan kononnya terdapat ancaman nyawa ke atas penyanyi K-Pop terkenal dari Korea Selatan, Psy pada Majlis Rumah Terbuka di sini, Isnin lalu.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Chang Yeow yang dipetik sebuah akhbar berbahasa Cina yang turut menyebut terdapat ancaman nyawa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, adalah tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja menakutkan rakyat Pulau Pinang, bahkan menjejaskan imej negeri ini di mata dunia.

Menurutnya, walaupun kenyataan Chang Yeow itu disahkan oleh polis, namun sehingga kini beliau tidak dimaklumkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengenai ancaman itu.

“Kita tahu keselamatan Perdana Menteri adalah penting tetapi saya ingin bertanya kepada dia (Chang Yeow), siapa yang mahu mengancam nyawa Perdana Menteri?

“Siapa yang mahu mengancam nyawa Psy? Psy buat persembahan di serata dunia, namun tidak pernah kita dengar nyawa bintang terkenal ini diancam.

"Tapi bila di Pulau Pinang, Chang Yeow dakwa nyawa penyanyi terkenal ini terancam sehingga menyebabkan majlis rumah terbuka mereka menjadi tunggang-langgang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa persembahan Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang tetap diteruskan walaupun dikatakan berlaku ancaman terhadapnya.

Menurutnya, kenyataan Chang Yeow itu mungkin untuk menutup malu BN apabila penyanyi yang terkenal dengan Gangnam Style tidak muncul apabila dijemput untuk menggaul yee sang bersama Perdana Menteri dan pimpinan BN lain.

Dalam sidang media itu, Guan Eng turut menayangkan video kejadian ‘memalukan’ apabila Perdana Menteri dilihat menunggu kehadiran Psy untuk menggaul yee sang namun penyanyi itu tidak muncul walaupun dijemput berulang kali oleh pengacara majlis.

Guan Eng berkata, dalam video berkenaan juga jelas menunjukkan Perdana Menteri sempat mengambil gambar orang ramai dan menunggu beberapa minit sebelum penyanyi itu muncul di pentas.

“Kalau diamati video berkenaan, Perdana Menteri dalam keadaan ceria menantikan Psy dan dakwaan terdapat ancaman nyawa Perdana Menteri dan Psy juga mencurigakan kerana tidak kelihatan langsung anggota polis yang berkawal di sekitar kawasan pentas.

“Mereka (BN) mahu menutup malu dengan membuat cerita bahawa Perdana Menteri dan Psy diancam tetapi ia bakal menjejaskan nama Pulau Pinang.

“Ia turut mencalarkan usaha polis yang selama ini giat menurunkan kadar jenayah di negeri ini. Kenyataan Chang Yeow itu menggambarkan Pulau Pinang tidak selamat,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pas mutakhir ini menjadi sasaran serangan bertali arus oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang melantunkan ratapan, simpati dan rajuk politiknya bagi meraih sokongan.
  • MARANG - Pemuda Pas menyifatkan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mahu berubah malah kini sanggup menjadi pelindung kepada DAP.
  • SHAH ALAM - Dakwaan kononnya terdapat lapan Adun PKR akan melompat parti menyertai Umno bersama bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, tidak benar.
  • SHAH ALAM - Penyertaan semula bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke pangkuan Umno dikatakan akan memberikan impak positif terhadap parti keramat Melayu itu.
  • KUALA LUMPUR - Pemuda Umno merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sikap ambil peduli kerajaan terhadap cadangan yang pernah diutarakan menerusi ketuanya, Khairy Jamaluddin beberapa tahun kebelakangan ini, sehingga direalisasikan oleh kerajaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.