• Laporan Sinar Harian semalam Laporan Sinar Harian semalam
1 /

SABAK BERNAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sabak Bernam membidas kenyataan bekas pensyarah Universiti Islam  Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari, yang mengumumkan dirinya bertanding sebagai calon bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU13) nanti.

Ketua Penerangan AMK Cabang Sabak Bernam, Muhamad Abdul Razak Hansul Karip, berkata, tindakan Abdul Aziz itu seolah-olah membelakangkan keputusan pimpinan cabang dan negeri.

"Kenyataan dikeluarkan dilihat sebagai tidak menghormati pimpinan negeri yang masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai calon bagi kerusi itu.

“Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengumumkan nama calon sebaliknya hanya meminta Abdul Aziz bekerja dengan pimpinan Cabang,” katanya ketika mengulas siaran Sinar Harian,  semalam, berhubung kenyataan Abdul Aziz yang mengesahkan pemilihannya sebagai calon bertanding di Parlimen Sabak Bernam.

Menurut Muhamad Abdul Razak, permintaan itu adalah disebabkan Abdul Aziz tidak memberikan kerjasama dengan pimpinan cabang sebelum ini malah turut bermusuhan dengan pasukan sukarelawan.

Katanya, tindakan bekas pensyarah itu yang lupa budi menyebabkan pasukan sukarelawan tidak lagi memberikan kerjasama kepadanya yang disifatkan sebagai ego dan degil.

“Pasukan sukarelawan pimpinan Abd Kadir Abd Rashid membelanjakan sejumlah wang dalam memperkenalkan Abdul Aziz di parlimen ini namun kedegilan beliau menyebabkan kerjasama itu dihentikan.

"Beliau seharusnya menghormati pimpinan cabang bagi memastikan kejayaan parti dan tindakannya yang seolah-olah besar kepala tidak disenangi ahli PKR cabang Sabak Bernam," katanya.

Terdahulu, Abdul Aziz dalam kenyataannya memaklumkan,  beliau turut menerima pelawaan daripada Pas dan DAP untuk bertanding di beberapa kawasan.

Bagaimanapun, pelawaan itu ditolak kerana mahu melakukan perubahan  terhadap pucuk pimpinan di samping memberi perkhidmatan terbaik di kampung halamannya di Sabak Bernam.

Dalam pada itu, Abdul Aziz juga mahu rakyat memberi peluang kepada PKR untuk membuktikan kemampuan mereka dalam menguruskan  Sabak Bernam.

Abd Aziz turut berkeyakinan dapat merampas semula kerusi Parlimen Sabak Bernam memandangkan terdapat beberapa penambahbaikan dilakukan Kerajaan Negeri dalam memastikan hak rakyat tidak diabaikan.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, PKR bakal berdepan kekalahan  di Parlimen Sabak Bernam pada PRU13 sekiranya Abdul Aziz tidak berubah dan masih berpegang dengan sikap egonya.

"Abdul Aziz seolah-olah tidak mesra dan golongan muda di Parlimen ini lebih senang dengan pucuk pimpinan Ketua Cabang , Dr Badrolamin Bahron dan mahu beliau dikekalkan bertanding di kerusi sama dalam PRU13.

"Namun, sekira kerusi itu hendak digantikan, kami mahu Presiden PKR (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) menjadi calonnya bagi memastikan sokongan  berterusan  anak muda kepada PKR," katanya.