SHAH ALAM –  Barisan Nasional (BN) Selangor digesa menghentikan tindakan mengelirukan rakyat dengan menukarkan tempat mengundi pengundi sesuka hati untuk kepentingan parti mereka.

Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata, pihaknya kesal selepas menerima aduan beberapa pengundi Dun Selat Klang mendapati Dun dan Parlimen mengundi mereka ditukar ke kawasan lain pada surat Selamat Tahun Baru dengan simbol ‘Sayangi Selangor’ daripada BN
Selangor yang diterima mereka.

“Ini memberikan satu gambaran mengelirukan kepada pengundi dan sebagai satu negara yang mengamalkan demokrasi sepatutnya ini tidak dilakukan oleh pihak pemerintah.

“Saya menggesa supaya perkara ini dihentikan serta-merta oleh BN Selangor supaya tidak mengelirukan rakyat di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, tiga pengundi menghantar surat berkenaan melalui faksimili di mana terdapat gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berserta maklumat lengkap BN Selangor termasuk emel, Facebook dan nombor telefon.

“Contohnya A Ramachandran Dun N46 Pelabuhan Klang P110 Klang tetapi bila disemak Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, Dzulkifli Ab Rahman dan beliau  sendiri akui pengundi ini masih berada di Dun Selat Klang

“Tetapi kenapa surat Selamat Tahun Baru yang dihantar oleh Perdana Menteri menunjukkan mereka seolah-olah ditukarkan tempat mengundi.

"Ini yang dihantar dan kita mendapat maklumat ramai lagi menghadapi situasi ini,” katanya.

Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan isu sama membabitkan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang meminta Najib menjelaskan kos penghantaran surat dengan mesej politik itu menggunakan wang kerajaan atau BN.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Struktur baharu Pakatan Harapan mengumumkan senarai kepimpinannya semalam jelas memperlihatkan gabungan itu carca merba kerana meletakkan tiga nakhoda dalam satu kapal.
  • SHAH ALAM - BN/Umno perlu mengemukakan polisi alternatif yang lebih diyakini berbanding Kerajaan Selangor dalam meraih undi pada PRU14 nanti.