PETALING JAYA - Bersatu akan memberi laluan kepada Amanah bagi kerusi Kota Bharu pada PRU14 meskipun Bersatu sebenarnya lebih kuat.

Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu, Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman berkata, memandangkan hujah Amanah mendakwa mereka lebih kuat, Bersatu akur lebih-lebih lagi sebagai menghormati semangat Pakatan Harapan.

“Misalnya di Kota Bharu ni Amanah rasa dia kuat, jadi dia kemukakan hujah kita sebenarnya yang terkuat. Tetapi saya sebagai ketua saya tak nak perpecahan. Saya kata kalau nak ambil lah kerusi ini, berbaik sesama kita,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden Bersatu itu bagaimanapun menegaskan semangat pasukan dalam Pakatan Harapan lebih diutamakan berbanding mendahului kepentingan parti.

“Amanah nak bertanding di Kota Bharu, silakan, saya alu-alukan dia sebab saya sokong dia, lagipun ini tanda kita ini bersatu dan masing-masing parti cuba sedaya upaya. Kita mungkin dapat satu kerusi. Saya bukan jenis nak jadi calon, saya nak tengok parti ini disusun rapi,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan sebulat suara bersetuju menyerahkan lima kerusi parlimen kepada Amanah termasuk Kota Bharu.

Dalam perkembangan sama Abdul Rashid turut memaklumkan isu pembahagian kerusi Dun di Kelantan belum dimuktamadkan dan proses rundingan sedang berjalan.

Beliau sekali gus menafikan dakwaan ahli peringkat bahagian kononnya Bersatu tidak diberi sebarang kerusi di bawah Parlimen Kota Bharu.

Pada PRU13, parlimen Kota Bharu dimenangi Pas menerusi calonnya, Datuk Takiyuddin Hassan dengan majoriti besar 15,970 mengalahkan calon BN, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh yang mendapat undi 24,650. Manakala tiga lagi kerusi Dun disapu bersih oleh parti Islam itu dengan majoriti lebih 4,000 undi.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor tidak menolak sekiranya beliau dinamakan sebagai calon kerusi Parlimen Pasir Puteh.

Bagaimanapun, keputusan muktamad hanya diputuskan oleh Majlis Presiden.

"Bersatu akan meletakkan calon di situ, tapi belum diputuskan. Dari segi disiplinnya yang buat pengumuman calon ni ialah presiden parti, jadi kita tunggu lah saya tidak mahu dilihat mendahului,” katanya

Kamaruddin adalah antara individu yang dikaitkan sebagai calon parlimen Pasir Puteh dari Pakatan Harapan, manakala Pas dikatakan meletakkan Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh, sementara Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebagai calon BN/Umno.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Pemuda Bersatu Perak menganggap dakwaan kononnya Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menggunakan logo DAP sebagai tindakan terdesak.
  • PUTRAJAYA - Kami cuma nak desak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mempercepatkan pendaftaran Bersatu dan meluluskan Pakatan Harapan (Harapan) secara rasmi, bukannya nak bergaduh, kami tak sabar nak bersemuka dengan BN.
  • GURUN - Seramai 11 ahli Pemuda Parti Bersatu Parlimen Jerai melahirkan rasa kecewa atas tindakan pemimpin parti tersebut dan menggesa penjelasan tepat mengenai beberapa isu dalaman parti termasuk kekayaan anak-anak Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • SHAH ALAM - “Kenapa mereka yang bukan lagi ahli Bersatu menyibuk tentang urusan parti ini?” demikian kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamaruddin Mohd Noor.
  • SHAH ALAM - Rakyat tidak seharusnya dikelirukan dengan isu kehadiran diplomat Israel dan juga pasukan kriket negara itu yang dibenarkan beraksi di Malaysia pada Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) 1997.