SHAH ALAM - Notis pengosongan kerusi N27 Dun Balakong dijangka dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu depan, sebaik urusan pengebumian mayat mendiang Eddie Ng Tien Chee, 40 selesai dijalankan pada Selasa ini.

Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim ketika dihubungi Sinar Harian hari ini mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, pihaknya perlu memberi laluan kepada keluarga Eddie untuk menyelesaikan urusan pengebumian terlebih dahulu, sebelum mendapatkan sijil kematian mendiang.

“Setelah terima sijil kematian, barulah kita akan uruskan notis pengosongan mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Bahagian 5 Perkara 70(5) kepada SPR untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Eddie terlibat dalam kemalangan maut selepas kenderaan dipandunya merempuh belakang sebuah lori pembersih lebuh raya di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga menghala ke Kajang, awal pagi semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai calon pengganti mendiang, Suee Lim berkata, masih terlalu awal untuk DAP memikirkan perkara tersebut.

“Kita tunggu selesai semua urusan pengebumian termasuk hal kebajikan keluarga mendiang, diikuti penghantaran notis kepada SPR dan selepas itu adalah masa yang sesuai untuk bincangkan perkara ini.

“Kita akan bermesyuarat kembali bersama DAP dan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan calon baharu kerusi berkenaan,” katanya yang turut menyifatkan sukar untuk mencari pengganti seperti Eddie.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya DAP akan dapat mencapai keputusan dalam memilih calon pengganti yang terbaik nanti.

Pada PRU14 lalu, Eddie memenangi kerusi Dun Balakong dengan undi sebanyak 41,768 undi (35,538) sekaligus menewaskan calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali yang hanya memperoleh 6,230 undi serta calon BN, Lim Chin Wah sebanyak 5,874 undi.